23 Jun 2023, 17:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sekali lagi membuktikan penubuhannya sebagai sebuah Institusi Seni Budaya yang memartabatkan seni tradisional tempatan melalui pementasan teater.

Terkini, ASWARA mempersembahkan Teater Tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan yang berlangsung pada 19 dan 20 Jun 2023 bertempat di Pentas Blackbox ASWARA.

Mek Mulung merupakan sebuah teater tradisional masyarakat Melayu yang berasal dari Wang Tepus, Kedah Darul Aman. Menariknya, persembahan teater ini memiliki elemen muzik, tarian, lakonan, nyanyian dan unsur jenaka dalam satu pementasan yang menghiburkan.

Persembahan Teater Tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan yang telah berlangsung pada 19 dan 20 Jun bertempat di pentas Blackbox ASWARA.

Persembahan Teater Tradisional Mek Mulung Putera Cahaya Bulan ini dipersembahkan oleh pelajar tahun dua pengajian diploma dan ijazah sarjana muda dari ASWARA sebagai subjek wajib Pentas Tradisional.

Pembimbing pementasan ini terdiri daripada tenaga pengajar ASWARA seperti Norhasmidar, Fitri Hiswady, Siti Sarah, Ali Ariff, Othman Ariff, Saifulwazien, Ahmad Afifi dan Saifol Bahari. Persembahan teater ini turut dihadiri oleh pewaris dan tokoh Mek Mulung dari Wang Tepus, Kedah, iaitu Encik Abdul Halim Saad sebagai tetamu kehormat pada malam itu.

Teater ini mengisahkan Puteri Nang Mara yang mendapat mimpi pelik, kemudian baginda ingin mengetahui maksud mimpi tersebut. Putera Cahaya Bulan berfirasat bahawa permaisuri baginda, Puteri Nang Mara yang rupawan dan mempunyai kesaktian akan diculik oleh Raja Gergasi yang memerintah Benua Pakkian. Mimpi Puteri Nang Mara menjadi realiti apabila Putera Cahaya Bulan dibunuh oleh Raja Gergasi.

Barisan pelakon dan tenaga produksi Teater Mek Mulung Putera Cahaya Bulan.

Pementasan Teater Mek Mulung Putera Cahaya Bulan ini turut dihadiri oleh wakil dari Majlis Antarabangsa Festival dan Pertubuhan Kesenian Rakyat (CIOFF), Jabatan Kesenian Kebudayaan Negeri Ibu Pejabat dan Kedah, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Persatuan Teater Malaysia dan Istana Budaya.

Kejayaan pementasan Teater Mek Mulung Putera Cahaya Bulan yang berlangsung di ASWARA ini membuktikan kesenian tradisional tempatan masih tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas walaupun kehadirannya dalam masyarakat jarang-jarang diperlihatkan oleh generasi pada masa ini.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.