Oleh Suria Janib
16 Jun 2023, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Rentetan daripada negara dilanda penularan COVID-19, dunia berada dalam keadaan ketidaktentuan dalam semua bidang termasuklah bidang sastera khususnya sastera kebangsaan, iaitu sastera Melayu di Malaysia.” Kongsi Ketua Bahagian, Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Saifullizan Yahaya.

Beliau yang ditemu bual oleh BERNAMA dalam rancangan Apa Khabar Malaysia berkata, perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan teknologi kecerdasan buatan, secara langsung memberi impak terhadap perkembangan sastera di negara ini. Tambahnya lagi,

Sebanyak enam cabaran yang perlu dihadapi berkaitan dengan dunia sastera, iaitu cabaran berkaitan karya atau teks, penulis; penulis pula berkaitan dengan aliran yang dibawa, penerbit atau institusi yang berperanan menerbitkan karya sastera, kritikan terhadap sastera yang dimainkan oleh para sarjana, peranan yang dimainkan oleh gerakan atau badan bukan kerajaan menerusi persatuan penulis di Malaysia, dan peranan khalayak yang perlu memahami peranan sastera.

Ketua Bahagian, Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Saifullizan Yahaya berkongsi antara cabaran berkaitan dengan dunia penulisan  dalam rancangan Apa Khabar Malaysia.

Menurut Encik Saifullizan, peranan yang paling besar sekarang ialah pemupukan minat membaca dalam khalayak rakyat atau warga Malaysia terhadap karya sastera yang baik dan bermutu. Berdasarkan pemerhatian terhadap jumlah pengunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini, didapati angkanya lebih tinggi berbanding dengan sambutan dua tahun selepas penularan COVID-19. Katanya,

Walaupun perkembangan media sosial memberikan kesan terhadap minat membaca dalam kalangan generasi baharu, tetapi sejauh manakah minat membaca mereka terhadap karya sastera yang baik dan bermutu?

Baginya, pembacaan karya yang baik dan bermutu akan membina pemikiran yang cerdas, sihat, jernih dan matang serta menyerap nilai yang baik.

Tambah beliau, dalam keadaan perkembangan dunia yang semakin pesat disebabkan oleh kemajuan teknologi, inilah cabaran DBP untuk menghasilkan penerbitan karya yang terbaik dan bermutu.

Rancangan Apa Khabar Malaysia yang berlangsung pada 15 Jun 2023 pada pukul 9.00 pagi di Bernama.

Pada 22 Jun 2023, merupakan tarikh keramat Dewan Bahasa dan Pustaka mencapai umur 67 tahun dalam penubuhannya. Sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, pejuang persuratan Melayu dan bahasa sedar bahawa sebagai sebuah negara yang merdeka,  perlu untuk Malaysia mempunyai institusi atau badan yang menjaga nilai kebangsaannya sendiri. Antara nilai kebangsaan yang dapat diungkapkan adalah melalui penulisan yang dihasilkan oleh penulis yang baik.

Sejak awal penubuhan, DBP melihat peranan penulis dalam dunia kepengarangan amat besar dan bernilai. Oleh itu, pembinaan bakat penulisan menjadi fokus utama DBP yang dapat dilihat menerusi enam matlamat utama penubuhannya. Kongsinya lagi,

Menariknya, dalam matlamat kedua DBP; DBP berperanan untuk mengembangkan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan. Hingga kini DBP meneruskan matlamatnya menerusi penubuhan enam buah jabatan yang berperanan untuk membina dan mengembangkan bakat penulisan dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.