Oleh Suria Janib
15 Jun 2023, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Institusi Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuka peluang kepada pascasiswazah dalam bidang Kesusasteraan Melayu dan bidang-bidang lain untuk menyambung pengajian pada peringkat sarjana (master) dan program pada peringkat doktor falsafah (PhD)

Dr. Hasrina Baharum (kanan) dalam sesi temu bual yang diadakan secara dalam talian.

Timbalan Pengarah (Pascasiswazah dan Penyelidikan), IPM, Dr. Hasrina Baharum mengalu-alukan penyertaan pelajar mengikuti pengajian yang ditawarkan oleh IPM, pada kadar yuran pengajian yang istimewa. Menerusi Siri Bual Bicara Pascasiswazah: Bidang Kesusasteraan Melayu secara dalam talian, katanya,

Jika dibuat perbandingan antara institusi pengajian tinggi tempatan, IPM, UPSI menawarkan kadar yuran pengajian yang berpatutan dan mesra pengguna, serta pelbagai felow penyelidik yang dilantik dalam kalangan pakar bidang yang bersedia berkhidmat membantu pelajar dan penyelia program.

Katanya, untuk tempoh pengajian peringkat sarjana, sepanjang empat semester, pelajar hanya memperuntukkan perbelanjaan sekitar RM5755 dan perbelanjaan pada peringkat doktor falsafah bagi tempoh empat semester hingga habis pengajian ialah sebanyak RM12 780, manakala jumlah yuran pengajian pelajar alumni ditawarkan dengan potongan harga yang lebih istimewa.

Menurutnya, bidang Kesusasteraan dan Bahasa termasuk dalam lapan tujahan bidang penyelidikan yang ditawarkan oleh IPM, UPSI yang ditubuhkan sebagai tempat rujukan peradaban Melayu berasaskan pendidikan sepanjang hayat.

Bidang ini mengkaji karya sastera tradisional dan karya sastera moden penulis sama ada dari zaman dahulu ataupun sekarang. Karya tersebut dibincangkan dari pelbagai aspek pemikiran, falsafah dan sebagainya. Melalui kajian kesusasteraan tersebut dapat dihayati makna dan mesejnya dari sudut bahasa yang indah dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Tambahnya, bidang Kesusasteraan Melayu yang diperkenalkan sejak tahun 1957, adalah untuk membentuk pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan akan tercapai. Katanya,

Sastera ialah seismograf kehidupan, iaitu sastera bukan sahaja mencatat, tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Melalui sastera, banyak nilai yang dapat dipelajari untuk memperbaik kehidupan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.