11 Jun 2023, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Natrah atau nama sebenarnya Maria Huberdina Hertogh berada di bawah jagaan Che Aminah.”

Sebaris dialog yang dilontar oleh pencerita yang menimbulkan konflik dan perasaan yang baharu kepada penonton serta pelakon dalam pementasan teater sejarah berjudul Natrah yang berlangsung pada 9 dan 10 Jun 2023, bertempat di Panggung Eksperimental, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Antara babak pencerita yang terdapat dalam pementasan Natrah.

Banyak yang mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah Natrah, gadis Belanda yang berusaha mengekalkan agamanya sehingga banyak nyawa yang terkorban dalam Rusuhan Natrah pada tahun 1950. Cabaran naskhah ini menguji dua orang pengarah muda, iaitu Illham Nor dan Khal Isyaf untuk memastikan sumber rujukan berkenaan Natrah adalah benar. Kongsi mereka,

Buat pertama kalinya teater ini tidak berpihak kepada Islam, Kristian atau Belanda. Kami menyerahkan kepada penonton untuk menilai dan menyokong pihak yang mana. Kami juga tidak menjadikan Hertogh dan Adeline sebagai watak antagonis seperti yang berlaku dalam pementasan yang lainnya. Bagi kami setiap watak mempunyai matlamat tersendiri.

Selain menyifatkan Natrah sebagai simbol agama Islam, dua pengarah muda ini juga menegaskan pentingya nilai kendiri seorang manusia. Khal Isyaf berkata,

Natrah ialah lambang akidah, maruah, bangsa dan kehidupan manusia Timur yang kami angkat hak asasi manusianya. Konflik itu boleh diselesaikan dengan perbincangan tetapi apabila menggunakan undang-undang yang melibatkan pihak yang berkepentingan sendiri, tiada keadilan untuk Natrah memilih kehidupannya.

Tambah Illham Nor pula,

Natrah ketika itu menjadi tumpuan umat Islam, watak di sekeliling meletakkan kepercayaan kepada Natrah dan menyebabkan apa-apa yang dipilihnya akan menjadi isu. Natrah tahu Islam itu benar, tetapi dia tidak boleh memilih. Perjuangan masyarakat mempertahankan Natrah merupakan lambang kesepakatan umat Islam.

Barisan pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan pementasan Natrah.

Illham Nor dan Khal Isyaf berharap agar perkongsian sejarah Natrah melalui naskhah yang telah diolah oleh mereka dapat memberikan gambaran kepada penonton betapa pentingnya sentimen agama pada masa itu dalam menyatupadukan umat Islam. Natrah bukan sekadar nama tetapi membawa imej dan kesatuan agama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.