Oleh Putraery Ussin
9 Jun 2023, 19:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Pada 8 Jun 2023, bertempat di Institut Pendidikan Guru, Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) telah diadakan Bengkel Penulisan Cerpen dan Anekdot bersama-sama dengan 50 orang penulis muda yang terdiri daripada bakal guru.

Kebanyakan peserta yang mengikuti bengkel ini sudah mempunyai karya, terutamanya cerpen dan sajak walaupun karya yang dihasilkan oleh mereka hanya sekadar memenuhi masa lapang atau sebagai tempat untuk meluahkan perasaan.

Maka itu, program yang dianjurkan oleh IPGKSAH dengan kerjasama Dewan Bahasa Cawangan Wilayah Utara (DBPWU) ini adalah bertujuan untuk membimbing mereka agar yakin dan percaya terhadap penulisan sendiri.

Dr. Husairi Hussin atau lebih dikenali sebagai Putraery Ussin.

Selain itu, Ahli Jawatankuasa Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Dr. Husairi Hussin atau lebih dikenali sebagai Putraery Ussin, iaitu penceramah Bengkel Penulisan Cerpen dan Anekdot mengatakan bahawa,

Setiap kali saya memberikan ceramah atau membimbing penulis atau bakal penulis dalam sesuatu program, persoalan yang sering diajukan adalah bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah writer’s block, terutama dalam kalangan penulis muda atau baharu?

Tambah beliau lagi,

Ada banyak penulis muda berkebolehan di luar sana, cuma mereka tidak mempunyai panduan dan juga bimbingan untuk bersinar. Lantaran itu, Bengkel Penulisan Cerpen dan Anekdot ini menjadi platform kepada mereka.

Maka itu, untuk menghindari halangan dalam penulisan atau writer’s block ini, Putraery Ussin memberikan beberapa panduan. Antaranya ialah mereka seharusnya mengetahui persediaan dan juga sebab mereka menghasilkan karya.

Setelah itu, apabila matlamat sudah jelas, maka sudah pasti tiada halangan yang dapat menghentikan mereka untuk terus berkarya. Ujarnya lagi,

Umpamanya seperti, jika hendak berperang apabila sudah lengkap bersenjata dan strategi sudah pasti kemenangan yang bakal mereka peroleh! Keyakinan itu penting. Jika tewas juga, ingatlah kata-kata yang sering menjadi pemangkin semangat kepada kita, iaitu kita tewas kerana lawan yang lebih baik bukan kerana kelemahan kita.

Menurutnya lagi, apabila sudah ada tujuan, perkara yang perlu dilakukan oleh penulis ialah persediaan. Misalnya, jika hendak menulis cerpen tentang sejarah, penulis perlu membaca dan mencari segala maklumat tersebut dengan lengkap.

Putraery Ussin  turut memberikan semangat kepada penulis dengan menasihati mereka agar menjadikan kata-kata Sasterawan Negara A. Samad Said ini sebagai pegangan.

Jika ingin menjadi seorang penulis, pertama kita perlu membaca, kedua membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis.

Berdasarkan pengalaman Putraery Ussin sendiri sewaktu menulis novel Kempetai yang menggunakan latar belakang pendudukan Jepun di Sarawak, semua buku dan juga artikel atau cerita serta gambar perihal peristiwa tersebut sudah lengkap disediakan sebelum menulis, yakni beliau membaca dan membaca. Jadi proses mengarang itu akan lancar seperti air sungai yang masih suci, deras dan jernih.

Perkara yang ketiga walaupun bukan yang terakhir untuk mengatasi masalah ini, penulis juga dinasihati agar mencari ilmu, iaitu belajar dan terus belajar. Jelas beliau, penulis jangan sesekali berasa diri mereka itu bagus.

Ego itu memang sifat penulis yang baik tetapi mencari ilmu tidak pernah akan merendahkan nilai bakat serta martabat seseorang. Ego itu boleh disamakan seperti jati diri atau cap niaga dan juga gaya tersendiri kepada seseorang penulis. Semua itu perlu diperbaharui dan adakalanya perlu diberikan penjenamaan semula. Demikian jelas Putraery Ussin dengan berkongsi pengalamannya, iaitu,

Dalam hal ini, apabila saya mengalami ketandusan idea untuk menulis atau menghabiskan sesebuah penulisan, maka saya akan mencari program, bengkel dan juga aktiviti penulisan dan sastera untuk menyegarkan kembali pemikiran.

Kata beliau lagi,

Selain itu, sebagai bonus, saya juga akan beriadah atau bersosial seperti berlari, menyertai larian jarak jauh, menonton wayang dan juga berjalan-jalan di tempat yang menarik untuk membuang halangan menulis itu. Selalunya cara ini membuahkan hasil kepada saya. Harus diingat bahawa setiap orang ada cara yang berbeza. Barangkali ada orang yang selepas membaca coretan ini terus mengatakan, ‘Aku selalu tidur sahaja untuk mengatasi masalah writer’s block ini … .

Bengkel penulisan yang berlangsung selama sehari ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada penulis muda. Perkara ini sebagaimana yang ditekankan oleh Penolong Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus KSAH, iaitu Puan Hajah Nafishah Jusoh semasa ucapan perasmiannya,

Menulis adalah satu keperluan (ibadah) yang sangat bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. Jika bukan pada hari ini, barangkali pada masa akan datang karya kita itu akan memberikan faedah kepada orang lain.

Antara tetamu yang hadir dalam bengkel tersebut.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.