30 Mei 2023, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelibatan besar penulis baharu dalam pengumpulan puisi untuk Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke Sarang Cenderawasih amat menggembirakan kerana mereka ialah pengganti kepada penulis mapan suatu hari nanti.

Puisi penerima anugerah SEA Write 2010, iaitu Zaen Kasturi yang berjudul “Ke Sarang Cenderawasih” telah diangkat menjadi judul Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan terbaharu bermula tahun 2023 terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Persembahan puisi oleh Zaen Kasturi.

Antologi puisi bertemakan “Peneguhan Negara Merdeka” ini diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Hashim Ismail.

Buku ini memuatkan 45 buah puisi terpilih daripada 181 karya yang diterima untuk penilaian awal bermula pada 16 Januari hingga 28 Februari 2023 yang lalu.

Puisi yang terpilih kali ini begitu puitis dan bertepatan dengan tema yang telah ditetapkan. Lebih menarik lagi, terdapat kepelbagaian karya daripada penulis mapan, penulis muda dan penulis baharu yang turut terpilih serta sesuai untuk dideklamasikan dalam sebuah persembahan.

Antara judul puisi yang terkandung dalam antologi ini ialah “Wajah Bonda” karya Azmi Ismail, “Matahari di Atas Bahu” karya Zaifulnizam Wagiran, “Pembawa Pesan Penyair” karya Zainal Rashid Ahmad, “Pengukir Sejati” karya Mahaya Mohd Yassin dan “Demi Kecintaan” karya Dayana Chacho.

Berdasarkan rekod, sebanyak 10 buah antologi puisi kemerdekaan telah diterbitkan sejak tahun 1987 hingga 2022, iaitu Maruah Merdeka, Di Atas Mimbar Merdeka, Suara Anak Merdeka, Mutiara Pertiwi, Rumah Merdeka, Aksara Merdeka, Jamung Merdeka, Lentera Zaman, Tanggam Warisan dan Jangan Gendang Bertingkah Lagi.

Antologi Puisi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke Sarang Cenderawasih bakal menjadi teks yang akan dipertandingkan oleh peserta dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan pada peringkat negeri/PDRM/ATM bermula Julai 2023 dan kemuncaknya pada peringkat kebangsaan pada September 2023 kelak.

Antara skop pemarkahan juri yang menjadi elemen utama penilaian peserta pula ialah vokal, intonasi, nada, kelancaran/artikulasi, memek muka, penghayatan, bahasa tubuh dan penampilan.

Antologi tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Hajah Saraya Arbi dalam Majlis Pelancaran Buku Terbitan GAPENA bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 kali ke-40 di Kuala Lumpur pada 29 Mei 2023 yang lalu.

Di samping itu, “Antologi Puisi Penyair Wanita Malaysia: Cinta di Pintu Mihrab” yang diselenggarakan oleh Norazimah Abu Bakar, Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail turut dilancarkan dalam majlis berkenaan.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2023, Haji Mohd Khair Ngadiron dan penggiat sastera tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.