28 Mei 2023, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Kumpulan Seri Saloma bertuah apabila dinobatkan sebagai juara sulung pertandingan Juara Pantun 2023.

Mereka berjaya memenangi hadiah wang tunai berjumlah sebanyak RM1000, piala dan sijil.

Juara Pantun 2023 yang diadakan bersempena dengan Program Menyemarakkan Seni Budaya, Gegau Seni Budaya Melaka oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Melaka ini telah berlangsung pada 27 Mei 2023 di Dewan Tun Sri Lanang, JKKN Melaka.

Pengalaman sebagai pemantun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak 2017 sebelum ini, memberikan kelebihan buat kumpulan Seri Saloma yang terdiri daripada Hanim Atifah Musa, Nur Izzah Zainul Abidin dan Nur Fatin Ainina Nor Azman untuk menewaskan kumpulan Srikandi Ayu dari Universiti Malaya (UM) di pentas akhir pertandingan tersebut.

Menurut Nur Izzah Zainul Abidin,

Ini merupakan kali pertama kami bertanding menggunakan nama Seri Saloma setelah tamat belajar di UIAM. Kami berasa amat bersyukur kerana berjaya muncul juara sulung pada kemunculan pertama kami di pentas pantun terbuka seperti Juara Pantun 2023.

Bagi Hanim Atifah Musa yang menerima anugerah Pemantun Terbaik pula mengatakan,

Oleh sebab masing-masing sudah bekerja, kami berhadapan dengan kekangan masa untuk berlatih dan hanya dapat berkumpul sehari sebelum pertandingan. Namun demikian, kami mengambil inisiatif untuk melawati Istana Kesultanan Melaka untuk membuat kajian berkenaan dengan sejarah, etnik, dan pakaian tradisional di negeri Melaka sebagai usaha menghasilkan idea mencipta pantun.

Hanim Atifah Musa.

Dalam pada itu, Nur Fatin Ainina Nor Azman juga tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada mantan pemantun UIAM yang banyak menyumbangkan buah fikiran buat kumpulan Seri Saloma sepanjang latihan, yang hadir menyokong dan yang mendoakan dari jauh.

Pemenang bergambar kenangan. 

Juara Pantun 2023 disertai oleh enam kumpulan daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang, dan tempat. Munsyi Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Tuan Mohammad Musip; hakim pesta pantun sekolah peringkat kebangsaa, iaitu Cikgu Suhairi; dan jurulatih pasukan pantun peringkat kebangsaan, iaitu Cikgu Ahmad Fikri, telah dijemput untuk mengadili pertandingan tersebut.

Kumpulan Srikandi Ayu dari UM merangkul naib johan. Mereka memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM700, piala dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Alumni UIA yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500, piala dan sijil.

Manakala, tempat keempat diraih oleh kumpulan Pewaris mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM300, piala dan sijil. Pemenang saguhati turut diberikan cenderamata dan sijil daripada pihak JKKN Melaka.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah JKKN Melaka, Puan Ezlina Alias dan timbalannya, iaitu Puan Fiza Farika Mohd Yasin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.