22 Mei 2023, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelajar tahun akhir jurusan kewartawanan dari Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), iaitu Muhammad Najib Md Nazri merangkul gelaran juara Pertandingan Mencipta Poster Pantun Semerah Saga 3.0 pada Temasya Pantun Kerabat Bestari (BESTARI) 2023, semalam.

BESTARI 2023 yang dianjurkan oleh Kolej Kediaman Bestari, Universiti Malaya (UM) bermula 19 hingga 21 Mei 2023 mendapat sambutan menggalakkan dari seluruh Malaysia dan Nusantara khususnya untuk kategori Semerah Saga 3.0 yang mengangkat kesenian berpantun dalam bentuk poster grafik.

Terdapat dua lagi kategori yang dipertandingkan, iaitu Sandiwara Pandir (Pertandingan Pantun Pengenalan antara Kolej Kediaman UM) dan Piala Sri Gumum (Pertandingan Pantun antara Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Muhammad Najib memenangi johan untuk Temasya Pantun Kerabat Bestari (TEPAK) 2023.

Sewaktu berkongsi pengalamannya menyertai BESTARI 2022 sebelum ini, Muhammad Najib terpaksa berpuas hati dengan kemenangan tempat ketiga yang dirangkulnya untuk Pertandingan Mencipta Poster Pantun Semerah Saga 2.0 dan Pertandingan Pantun Menuai Malinja antara pelajar IPT.

Bagi beliau, kejuaraan di BESTARI 2023 kali ini merupakan satu pengiktirafan yang amat besar kerana kejayaan ini dirangkul pada peringkat antarabangsa.

Kemenangan ini sekali gus menebus kekecewaan Najib pada temasya pantun antara IPT yang dianjurkan pada Mac 2023 yang lalu, apabila beliau yang mengetuai pasukan pemantun USM gagal merangkul tempat atau anugerah. Kongsinya,

Pantun bukanlah medan untuk mengejar nama. Kalah menang merupakan adat bertanding. Kekalahan akan memberikan pengajaran dan kemenangan itu rezeki. Yang penting, sentiasa bangkit dan teruskan perjuangan sebagai pencinta pantun sejati.

Pantun “Coretan Darul Ta’zim” nukilan Muhammad Najib sempena Pantun Semerah Saga 3.0.

Muhammad Najib yang sedang menjalani latihan industri di Akademi DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka berasa bertuah apabila diberi peluang menjadi juru pantun pada peringkat suku akhir hinggalah pentas akhir untuk Pertandingan Pantun antara IPT, Piala Sri Gumum.

Dengan kemenangan ini, Najib berjaya memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM 350.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.