Oleh Suria Janib
8 Mei 2023, 14:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan kanak-kanak, Ceritalah Lagi: Abu Nawas Mengangkat Masjid, yang disiarkan melalui TVDBP menerusi media sosial langsung JendelaDBP dipetik daripada buku karangan Hamdan Abdul Rahman yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (2019).

Buku  bertulisan Jawi yang dibacakan oleh Kak Ruby ini mengisahkan Sultan Harun al-Rashid ingin mencari seseorang yang kuat tenaganya serta mampu mengangkat masjid. Maka itu, baginda sultan bertitah kepada pembesar negara dan hulubalangnya supaya rakyat jelata tidak meninggalkan masjid selepas mengerjakan solat Jumaat pada keesokan harinya sebelum mendengar titah perintah baginda sultan.

Kak Ruby bercerita dalam Rancangan kanak-kanak, Ceritalah Lagi: Abu Nawas Mengangkat Masjid, yang disiarkan melalui TVDBP menerusi media sosial langsung JendelaDBP.

Pada keesokan harinya, selepas Sultan Harun al-Rashid dan para jemaah selesai menyempurnakan solat Jumaat, seluruh rakyat baginda menunggu pengumuman daripada baginda sultan. Maka itu, baginda bertitah, “Barang siapa yang berjaya mengangkat masjid ini akan dihadiahi sebuah negeri dan disebabkan  kekuatan tersebut, beta akan melantik orang itu sebagai raja muda.”

Sebaik-baik sahaja baginda sultan selesai membuat pengumuman tersebut, tiada sesiapa pun dalam kalangan rakyat jelata yang berani tampil menyahut titah perintah baginda. Baginda sultan mengulangi pengumuman itu sebanyak tiga kali, namun tiada seorang pun yang berani berdatang sembah menyahut cabaran baginda.

Oleh hal yang demikian, datanglah Abu Nawas tampil mendatang sembah sebagai menyanggupi perintah baginda sultan.

Kata Abu Nawas, dia menyanggupi memikul berat beban yang dititahkan oleh baginda, iaitu mengalihkan masjid ke mana-mana tempat yang dikehendaki oleh baginda sultan. Namun demikian, Abu Nawas memohon titah perintah sultan itu  ditangguhkan dahulu selama tujuh hari lagi untuk dia mengamalkan isim yang diajarkan oleh orang tuanya.

Abu Nawas memohon baginda sultan, pada hari Jumaat yang akan datang supaya baginda sultan menitahkan orang ramai untuk menyembelih kerbau, lembu, kambing, biri-biri dan ayam, itik untuk dibuat jamuan makan. Selepas baginda sultan menjamu orang ramai dengan kenduri makan tersebut, maka barulah Abu Nawas mengerjakan titah perintah baginda. Sultan Harun al-Rashid bersetuju dengan permintaan Abu Nawas.

Setelah tiba hari Jumaat yang berikutnya serta sultan dan rakyat jelata selesai menunaikan solat Jumaat, baginda menyediakan jamuan makan dan dinikmati oleh rakyat dengan sepuas-puasnya. Sesudah itu, tibalah giliran Abu Nawas untuk mengotakan janjinya.

Sesudah itu, apakah yang berlaku? Tonton rancangan ini hingga penghujung rancangan. Untuk menguji kepintaran serta kefahaman, penonton dikehendaki menjawab tiga soalan yang dikemukakan pada akhir rancangan dan hantarkan jawapan yang tepat sebelum 29 Mei 2023 menerusi e-mel: [email protected]. Tiga orang pemenang akan dipilih untuk memenangi hadiah menarik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.