16 April 2023, 07:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyertaan daripada rakan Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) daripada pelbagai negara dan peringkat umur menunjukkan bahawa kegiatan ini sebagai wadah perpaduan untuk mengeratkan pemuisi dalam dan luar negara.

Malam Kemuncak Puisi Ihya Ramadan Antarabangsa 2023: Semarak Ramadan bersama dengan kerabat pemuisi sedunia telah berlangsung secara dalam talian melalui laman media sosial PEMUISI Nasional Malaysia pada 15 April 2023, pukul 10.00 malam.

Pelibatan pemuisi dari pelbagai negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia, Belanda, Belgium, China dan Rusia turut mengimarahkan Malam Kemuncak Puisi Ihya Ramadan Antarabangsa 2023: Semarak Ramadan bersama Kerabat Pemuisi Sedunia yang dirasmikan oleh YBhg. Senator Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Barisan PEMUISI yang turut mengimarahkan Malam Kemuncak Puisi Ihya Ramadan Antarabangsa 2023.

Untuk menghormati bulan Ramadan yang penuh barakah dan galakkan penciptaan karya rohani dan Islamik pemuisi veteran mahupun muda, program ini merupakan acara tahunan yang mendapat sambutan daripada pemuisi dari dalam dan luar negara selama tiga tahun berturut-turut.

Menariknya, penampilan khas Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dengan puisi berjudul “Wajib Berzakat” dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hashim Yaacob dengan puisinya “Duduk Antara Dua Sujud” menjadi persembahan pembuka acara untuk program ini.

Pemuisi muda, Nur Eldayana dari Sekolah Seni Malaysia Johor dengan puisinya bertajuk “Ihya Ramadan”.

Persembahan peserta lima terbaik dalam Program Video Baca Puisi Ihya Ramadan menerusi laman media sosial PEMUISI Nasional Malaysia turut menampilkan pemuisi muda seperti Nur Eldayana dari Sekolah Seni Johor dengan puisinya “Ihya Ramadan”, Zarir Ali mempersembahkan puisi “Harum di Rumah Ramadan”, Shameir MS melalui puisi “Selimut Kemerdekaan”, Maya lrina melalui puisi bertajuk “Pertemuan Ramadhan Sekali ini” dan Nurul Izzah Andah tampil dengan membaca puisi “Ramadan Ini Sahabatku”.

Majlis tersebut turut diimarahkan oleh pemuisi hebat sedunia seperti Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ismail, Marzelan Perindu Seni, Ferri Anugerah Makmur dan Harlym Yeo.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.