20 Mac 2023, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Pemantun dari pasukan Universiti Malaya (B), iaitu Muaz Abdul Samad memenangi kategori Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan pada Temasya Pantun Kesedaran Kesejahteraan Mental (TEPAKK) 2023.

Dengan kemenangan ini, Muaz berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200.

TEPAKK 2023 yang diadakan pada 13 hingga 16 Mac 2023 berjaya mengangkat isu berkenaan penjagaan kesihatan mental dengan mengetengahkan tema pantun, antaranya termasuklah skizofrenia, kehibaan dan keresahan.

Di samping itu, penganjuran temasya ini dapat mencungkil dan mengembangkan bakat anak muda untuk mencintai khazanah warisan puisi tradisional seperti pantun.

Menariknya, TEPAKK 2023 memperkenalkan dua anugerah baharu, iaitu Anugerah Buluh Perindu dan Anugerah Pasukan Harapan.

Anugerah Buluh Perindu diberikan kepada pemilik suara merdu Aisyah Shofwa Suhaimie dari Universiti Sains Islam Malaysia, manakala pasukan Universiti Teknologi Petronas (B) pula merangkul Anugerah Pasukan Harapan.

Kategori lain yang dipertandingkan ialah Pemantun Terbaik Akhir yang dimenangi oleh Siti Nur Balqis Syamsul Zaidi. Beliau berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM200.

Anugerah Busana Terbaik turut dipertandingkan, dan kategori ini dimenangi oleh pasukan dari Universiti Teknologi Mara Puncak Alam yang terdiri daripada Nurul Ain Awadah Razali, Rabiatul Akmar Roslan, Muhammad Akmal Haziq Mohd Ramli, dan Nur Fareesha Fasya Annuar.

Pasukan pantun UIAM yang memenangi Anugerah Pembukaan Terbaik.

Seterusnya ialah Anugerah Pembukaan Terbaik yang diberikan kepada pasukan tuan rumah, iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dibarisi oleh Muhammad Akmal Azri Omar, Nurul Izzah Jaminan, Nisa Madihah Nazzri dan Muhammad ‘Izzul Ajwad Ismar. Mereka berjaya memenangi wang tunai sebanyak RM300.

Barisan jauhari yang menilai di Pentas Akhir TEPAKK 2023.

Pentas akhir TEPAKK 2023 yang berlangsung di Auditorium Utama UIAM ini menampilkan barisan jauhari hebat seperti Puan As’malia Md Lasim, Encik Hairul Anuar Harun, Encik Roslan Madun, Puan Musazliza Mustan Shir, Encik Najwan Hussaini dan Puan Anita Abu Bakar.

Sesi bergambar bersama dengan tetamu kehormat dan sekretariat TEPAKK 2023.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Rektor UIAM, iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.