12 Februari 2023, 16:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu –Teknik menulis cerpen yang baik, sebenarnya tidak mempunyai format yang tetap tentang cara untuk menghasilkannya. Maka itu, Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2023 anjuran Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diadakan secara dalam talian melalui pautan Google Meet bermula 10 Februari 2023 hingga 4 Mac 2023. Bengkel hujung minggu ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan apresiasi sastera sebagai wadah pembentukan nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Poster program.

Nik Mohd Iznan pemegang kepada nama pena Nimoiz T.Y merupakan salah seorang penceramah yang mengisi slot cerpen pada 11 Februari 2023. Slot “Menulis Cerpen yang Bagaimana?” bertujuan memberikan pendedahan kepada penulis muda perihal cara penulisan cerpen yang mantap serta teknik penulisan cerpen yang mampu menarik hati pembaca. Seorang peserta, iaitu Tuan Siti Mastazameatun menyifatkan bengkel ini sangat baik untuk memantapkan penulisan cerpen bagi penulis baharu.

Teknik penulisan yang didedahkan oleh Nimoiz T.Y memudahkan saya dalam penulisan cerpen. Antaranya ialah teknik memulakan cerpen, menyusun plot dan isi cerita, serta mengakhiri sebuah cerpen supaya karya tersebut lebih menarik dan bermanfaat buat pembaca.

Antara perkongsian oleh Nimoiz T.Y dalam bengkel tersebut.

Nimoiz T.Y dalam perkongsiannya yang berlangsung selama dua jam turut berkongsi maklumat tentang faktor utama sesebuah cerpen itu menjadi menarik dan mempunyai nilainya yang tersendiri. Kongsinya,

Dalam sesebuah penciptaan cerpen, aspek yang paling penting selain bahasa ialah aspek pemikiran dan estetika. Aspek pemikiran dan estetika yang bakal memegang kuat naratif sesebuah cerpen.

Tambahnya lagi,

Untuk menjadi seorang cerpenis yang baik, penulis harus rajin membaca karya daripada penulis muda lain seperti Faisal Tehrani, Muhammad Lutfi Ishak, Saifullizan Yahaya dan Roslan Jomel. Penulis ini membawa suatu penceritaan yang segar dan baharu yang boleh dijadikan rujukan bagi penulis pemula.

Bengkel diadakan secara dalam talian.

Kali pertama diundang sebagai penceramah oleh GEMA untuk bengkel penulisan cerpen lebih kurang 10 tahun dahulu. Nimoiz T.Y kini kembali berkongsi pengalaman dan ilmu beliau dalam penghasilan cerpen bermutu buat rujukan 75 orang peserta yang hadir pada bengkel itu semalam. Dalam bengkel tahun ini, peserta juga berpeluang mendengar perkongsian daripada barisan penceramah lain seperti Rosli K. Matari, Dr. Shamsudin Othman, Profesor Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Abdullah Yusof, Dr. Maskiah Haji Masrom dan Ku Seman Ku Hussain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.