7 Februari 2023, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dinginnya malam ini,

Amat sayu mencengkam kalbu,

Tatkala merenung hakikat takdir-Mu,

Terkenang memori yang dibungkam dek waktu,

Seketika berasa titisan jernih menitis,

Membenam riak seri wajah,

Menutup sinaran mata yang berkaca.

 

Andai waktu mampu berputar pada masa lalu,

Akan kumenjauh,

Dari onak dan duri,

Himpunan segala hempuk dan tusukan yang memilu,

Akan kuteliti dan memilih tegar,

Bukan hanya kerana rupa dan harta,

Agar diri tidak terbiar diperlakukan pelbagai rasa,

sehingga ada nyawa turut merana,

Hanya kerana memperjuangkan mahligai yang dibina.

 

Kenangan itu,

Kembali menjengah walau perit jerih,

Jiwa dan raga menjadi saksi,

Istana yang dibina dulunya tersergam megah,

Indah bersulam cinta bertakhta mesra,

Kini sepi kutinggalkan usang.

Tiada bait kata mampu terungkap,

Entah di mana salah dan silap,

Umpama permainan yang tidak berkesudahan,

Bagai tiada belas kasihan,

Menabrak hampir setiap waktu,

Membuktikan tiada lagi iman di dadamu,

Hingga berakhir jua nyawa mudghahku,

 

Perasaan yang tercalar,

Meleraikan simpulan yang mengikat janji,

Impian bertahan tinggal sebutan,

Bersama angan-angan yang tidak mungkin kautepati,

Untuk mengintai ruang kebahagiaan,

Meniti kehidupan pengubat kedukaan.

 

Titik jernih air mata mengalir laju,

Sayup-sayup serunai rindu mengalun merdu,

Membayangkan gelak tawa si kecil bernyanyi syahdu,

Alangkah indah andai kebahagiaan lalu menjadi milikku,

Namun segera kutahu,

Takdir-Mu telah disusun untukku,

Bertemu mudghahku di laman abadi-Mu,

Beriringan menuju syurga tertinggi-Mu,

Kuyakin hikmah ini membahagiakan,

Penyemat kukuh penebat tabah seluruh ruang kehidupan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.