31 Disember 2022, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sua temu pelajar bersama dengan penulis novel sejarah Sepasang bulan, iaitu Amelia Hashim

Universiti Utara Malaysia – Penulis prolifik dari Kedah, iaitu Amelia Hashim telah menerima undangan daripada pelajar kursus Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif  untuk berkongsi rahsia kejayaannya dalam menghasilkan novel genre sejarah. Selain itu, pertemuan bersama dengan pengarang novel Sepasang Bulan (2022) ini juga adalah bertujuan untuk membantu pelajar dalam memahami dan mendalami cerita Sepasang Bulan yang terpilih sebagai teks wajib untuk kursus SBLS 2043 Gagasan Kepengarangan Karya Kreatif.

Pertemuan ini dimulakan dengan ucapan oleh Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid, pensyarah yang membicarakan perihal kemunculan novel sejarah serta memperkenalkan tokoh yang membincangkan konsep novel sejarah, iaitu Georg Lukacs. Menurut Dr. Mohamed Nazreen lagi, novel sejarah nukilan Amelia Hashim antara novel yang melengkapi ciri-ciri novel sejarah yang disenaraikan oleh Georg Lukacs.

Sebelum bercerita perihal novel Sepasang Bulan, Amelia Hashim berkongsi dahulu berkenaan dengan pelibatan beliau dalam bidang penulisan, dan peralihan penulisannya yang menjurus kepada genre sejarah kini.

Jelas Amelia Hashim,

Minatnya terhadap penulisan terdorong oleh keterujaannya sendiri dalam menulis dan juga penerimaan orang ramai setelah membaca karyanya. Penulisan genre sejarah pula disebabkan oleh sifat ingin tahunya serta minatnya yang mendalam terhadap sejarah telah berjaya menarik beliau menulis karya genre tersebut. Sejarah yang dicungkil itu pula merupakan sejarah yang begitu dekat dengan hatinya dan dapat dijadikan bahan dalam karyanya.

Pelajar kursus Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif UUM berdiskusi berkenaan dengan novel Sepasang Bulan karya Amelia Hashim

Melalui pertemuan ini, rata-rata pelajar tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan kepada Amelia Hashim. Antaranya soalannya ialah mengapakah pengarang menghasilkan karya genre sejarah? Menjawab soalan tersebut, Amelia Hashim mengatakan bahawa ini disebabkan minat beliau terhadap sejarah sehingga dia banyak menghabiskan masa dengan menelaah buku sejarah.

Selain berkongsi proses menghasilkan novel Sepasang Bulan, Amelia Hashim  menceritakan kaedah yang beliau gunakan untuk menghasilkan novel sejarah. Antara kaedahnya adalah seperti mencari bahan dan mencatat tarikh penting untuk menyusun kronologi dan mengadunkan semuanya dengan minda kreatif yang dia peroleh sebagai seorang pengarang.

Novel Sepasang Bulan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini sarat dengan pergolakan politik dan perebutan takhta yang memfokuskan dua buah negeri, iaitu Kedah dan Johor. Antara pencapaian novel ini adalah memenangi tempat ketiga dalam Sayembara Penulisan Novel Sejarah Johor.

Selain novel Sepasang Bulan, Amelia Hashim juga mempunyai novel genre sejarah yang lain antaranya seperti Kalbu Qalha (2017), Gelora 1941 (2021) dan Hikayat Perempuan (2021). Penghasilan novel ini sekali gus membuktikan kecenderungan penulis dalam menulis novel genre sejarah. Pencapaiannya yang lain ialah novel Gelora 1941 telah mendapat perhatian syarikat penyiaran untuk mengadaptasikan dalam bentuk drama bersiri televisyen.

Sebagai penutup, pelajar turut meminta panduan daripada Amelia Hashim berkenaan dengan teknik atau resipi penghasilan karya yang bermutu. Pelajar Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif UUM berharap agar pertemuan dengan pengarang prolifik ini akan diadakan lebih kerap lagi demi memastikan hasil pembelajaran yang lebih mantap dan berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.