22 November 2022, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Hari Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2022 telah berlangsung pada 22 November 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.  Selaras dengan matlamat Hari Inovasi yang menonjolkan pembaharuan dan kelainan yang telah tercipta dalam program dan perkhidmatan DBP sepanjang tahun 2022, maka tema “Hendak Seribu Daya” telah diangkat untuk meraikan kejayaan DBP dan pihak luar yang telah berkolaborasi dengan DBP dalam menjayakan agenda pembaharuannya.

Satu daripada anugerah yang diberikan kepada pihak luar yang merangkumi kategori individu dan organisasi ialah Anugerah Citra Sahabat DBP. Bagi kategori individu, penggiat sastera tradisional, terutamanya syair, yang juga seorang aktivis teater, Syahidatul Munirah Badrul Munir terpilih sebagai penerima Anugerah Citra Sahabat DBP.

Syahidatul Munirah menerima Anugerah Citra Sahabat DBP kategori individu.

Pemilihan Syahidatul Munirah sebagai salah seorang penerima Anugerah Citra Sahabat DBP kategori Individu bertepatan dengan sejarah dirinya yang telah mengenali DBP sejak kecil. Pengiktirafan yang diberikan oleh DBP membuatkan beliau berasa cukup terharu kerana terimbau kenangan bersama-sama arwah ibunya, Rahimah A. Hamid yang pernah bekerja di DBP. Walaupun ibunya sudah tidak bekerja dengan DBP selepas itu dan menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia, hubungan Syahidatul Munirah masih terjalin dengan DBP, terutama selepas tertubuhnya DBP Wilayah Utara (DBPWU) pada tahun 1999.

Memetik hantaran dalam laman Facebook beliau,

Saya mula mengorak langkah bersama-sama DBPWU sejak kecil, diasuh melalui program Kembara Bahasa, mewakili Sekolah Kebangsaan Minden Height, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul dan negeri Pulau Pinang menerusi pertandingan bercerita, bahas, pidato, puisidra, puisi dan beberapa aktiviti lain, khususnya aktiviti yang bersifat seni budaya dan sastera.

Menurut Syahidatul,

Puan Khairiyah Ghazali yang sering melihat saya menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh DBP, lalu beliau undang saya menyertai pelbagai bengkel anjuran DBP, termasuklah menghantar saya menyertai Minggu Penulis Remaja.  Bengkel itulah yang menyebabkan lahirnya karya sulung berjudul ‘Sepotong Kisah Sultan Mahmud Syah’ dalam Jendela Utara sewaktu saya berusia 11 tahun.

Minat dan bakatnya dalam penulisan, terutama yang berkaitan dengan sastera tradisional terserlah apabila beliau turut menghasilkan beberapa skrip drama pentas bertemakan sejarah dan mencipta lirik syair dan pantun. Pada masa yang sama, Syahidatul juga cukup aktif dalam arena pengarahan dan lakonan drama dan teater. Yang terbaharu, beliau menjadi pengarah dan penulis skrip teater syair “Setanggi Ratna Inderapura”, sekali gus melahirkan istilah “teater syair” melalui eksperimennya untuk mempersembahkan suatu bentuk pementasan baharu dalam dunia teater tanah air.

Selaku pengarang dan aktivis sastera dan budaya yang tergolong dalam kategori muda, Syahidatul Munirah pernah menjadi penghias kulit hadapan majalah sastera untuk generasi muda, Tunas Cipta pada keluaran 9/2021. Selain itu, Sidang Editor Tunas Cipta juga turut mendapatkan pandangan dan idea daripada Syahidatul Munirah tentang cadangan untuk mewujudkan ruangan khusus untuk penulisan sastera tradisional. Matlamatnya agar sastera tradisional dapat dipersegar, diberi nafas baharu dan diwacanakan oleh pengkarya muda.

Hasilnya maka Tunas Cipta versi digital (e-Tunas Cipta) dalam jendeladbp.my, terdapat ruangan “Seri Pusaka” yang secara khusus menyiarkan artikel dan ciptaan puisi tradisional seperti syair, pantun, gurindam dan seloka yang dihasilkan oleh penulis pemula dan penulis muda. Karya syair karangan Syahidatul Munirah menjadi pelopor ruangan berkenaan, disusuli dengan beberapa penulisan artikel tentang sastera tradisional.

Selain kerjasama dengan Sidang Editor majalah Tunas Cipta, Syahidatul Munirah juga memberikan komitmen dan kerjasama yang baik, khususnya dengan DBPWU dalam penganjuran aktiviti berbentuk penulisan karya sastera, pengarahan teater atau drama, deklamasi sajak, dendangan syair dan pertandingan bahas atau pidato.

Sememangnya sumbangan dan kerjasama serta komitmen daripada Syahidatul Munirah cukup banyak jika diambil kira penglibatannya dengan DBP sejak beliau masih kecil. Maka itu, beliau bukan sahaja berasa bangga atas penghargaan yang diberikan oleh DBP, malah anugerah tersebut menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menjadi pengamal dan pemain dalam arena sastera dan budaya demi membantu DBP memartabatkan bahasa, seni budaya dan persuratan Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.