11 November 2022, 15:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu; begitulah peribahasa yang tepat apabila skrip sulung Puan Nur Asyikin Ahmad Zauzi, seorang karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), diangkat sebagai Anugerah Skrip Drama Radio Terbaik dalam Anugerah Seri Angkasa 2022.

Semasa ditemu bual dalam program “Tabik Dia: Menyusun Aksara di Pena Karya” anjuran DBP, beliau sempat bercerita bahawa inspirasi penulisan skrip drama radio ini adalah berpunca daripada sahabatnya yang juga merupakan seorang penulis skrip drama radio iaitu saudari Hasni Jamali.

Menurut beliau lagi, pengalaman menulis skrip drama radio yang berjudul “Akhirnya Bahagia Meluruh” ini adalah yang pertama setelah belajar secara tidak formal daripada sahabatnya itu.

Mengakui dirinya sebagai seorang penulis skrip baharu, pustakawan di Pusat Dokumentasi Melayu DBP ini pada asalnya tidak mengetahui bahawa karya tersebut dicalonkan dalam Anugerah Seri Angkasa 2022.

“Pada waktu itu, saya tak tahu yang skrip drama radio Akhirnya Bahagia Meluruh ini dicalonkan dalam Anugerah Seri Angkasa 2022 kerana pencalonan untuk anugerah ini diuruskan oleh bahagian organisasi penerbitan atau penyiaran itu, bukan daripada individu atau penulis itu sendiri,” jelas anak jati Pulau Mutiara ini.

Beliau juga sempat berkongsi perasaannya yang berdebar dan tidak percaya apabila menerima keputusan anugerah tersebut. Beliau turut menyatakan kemenangan tersebut adalah berkat doa suami, keluarga dan sahabat.

Pencalonan bagi drama radio dalam Anugerah Seri Angkasa 2022 terbahagi kepada enam kategori iaitu Drama Radio Terbaik, Skrip Drama Radio Terbaik, Pelakon Lelaki Drama Terbaik, Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Drama Radio Terbaik, dan Pelakon Pembantu Lelaki Drama Radio Terbaik.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.