31 Oktober 2022, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemenang Skrip Drama Radio Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2022 menjadi milik Nur Asyikin Ahmad Zauzi atau nama penanya Syikin Zauzi melalui karya berjudul “Akhirnya Bahagia Meluruh”.

Syikin Zauzi memenangi Skrip Drama Radio Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2022.

Selain trofi, Syikin Zauzi juga menerima wang tunai berjumlah RM5000 pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 yang diadakan pada 30 Oktober 2022, bertempat di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Anugerah Seri Angkasa yang mula dianjurkan pada tahun 1972 ini diadakan bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada karyawan dan penggiat seni yang berusaha memartabatkan industri kreatif tanah air melalui karya atau produk yang dihasilkan oleh mereka.

Syikin Zauzi yang berkhidmat sebagai Pustakawan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang dimenangi olehnya. Katanya,

Kejayaan ini merupakan rahmat daripada Allah SWT kepada saya. Pelibatan saya dalam bidang penulisan mendapat dorongan daripada suami, keluarga dan sahabat.

Drama radio “Akhirnya Bahagia Meluruh” mengisahkan pengorbanan seorang suami dan kekecewaaan wanita bergelar isteri yang dirungkaikan dalam satu tragedi penculikan. Drama radio yang diterbitkan oleh Nurul Asiah Bidin, dan dibintangi oleh Beto Kusyairi, Sofi Jikan, Lisdawati, Azza Suaymi dan Farid Amirul telah bersiaran melalui Nasional FM pada 11 September 2021 dalam slot “Layar Maya”.

Mengimbas kembali pelibatan Syikin Zauzi dalam bidang penulisan, beliau bermula pada tahun 2014 dengan menghasilkan sebuah cerpen berjudul “Selipar yang Terakhir”. Cerpen tersebut berjaya diterbitkan dalam majalah Tunas Cipta. Kemudian pada tahun 2015, kumpulan cerpen beliau yang bertajuk Labah-Labah Berkaki Lapan pula diterbitkan. Dua tahun selepas itu, iaitu sekitar bulan April, Syikin Zauzi berjaya menghasilkan novel pertamanya yang berjudul Dislokasi Jiwa. Penerbitan novel ini adalah bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Kongsi Syikin Zauzi,

Saya mula menulis skrip drama radio sekitar tahun 2021. Sebelum ini, penulisan saya hanya berfokus pada genre cerpen dan puisi sahaja. Di samping itu, saya juga menulis zine berjudul Bermalam dengan Mustika. Saya suka menulis genre yang pelbagai kerana bagi saya, setiap genre mempunyai kehalusan yang tersendiri.

Harapan beliau agar dirinya lebih rajin menulis dan sentiasa diberikan ilham untuk berkarya. Bagi Syikin Zauzi, menulis perlu seiring dengan keinginan dan kerajinan. Ilham dan magis dalam berkarya akan muncul apabila kita mempunyai kesungguhan untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.