30 Oktober 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor – Buat julung-julung kalinya, Sekretariat Mahasiswa Johor dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Yayasan Pelajaran Johor dan Persatuan Penulis Johor telah mengadakan Bengkel Penulisan Gurindam dan Bengkel Swaterbit secara percuma menerusi platform Google Meet. Bengkel ini telah mendapat jumlah penyertaan sebanyak 250 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, mahasiswa, guru dan orang awam dari dalam dan luar negara.

Sewaktu Bengkel Penulisan Gurindam yang dijalankan baru-baru ini, Tuan Haji Mohd Rosli Bakir, iaitu Tokoh Puisi Negeri Johor 2022 dan AJK Persatuan Penulis Johor yang turut dikenali sebagai Penyair Ujung Selatan Benua Asia telah diundang selaku pembimbing. Antara perkongsian beliau adalah berkaitan dengan format penulisan gurindam yang terdiri daripada enam rangkap dengan dua baris yang diakhiri rima yang sama dengan jumlah perkataan lapan hingga 12 suku kata.

Sekitar Perkongsian oleh Pembimbing, Encik Rosli Mohd Bakir Sewaktu Bengkel Gurindam

Para peserta diberi tempoh selama satu bulan bermula, iaitu 18 Oktober hingga 21 November 2022 untuk menghasilkan karya gurindam yang bertemakan “Nasihat” dan menghantarnya kepada pihak penganjur. Karya gurindam nukilan peserta yang menepati kriteria yang ditetapkan bakal dihimpunkan dan diterbitkan dalam sebuah buku antologi gurindam. Buku yang buat julung-julung kalinya mengetengahkan puisi bergenre gurindam ini berhasrat untuk memperkenalkan gurindam kepada khalayak ramai agar lebih dihargai selaras dengan puisi genre lain seperti sajak, pantun dan syair yang sudah sekian terkenal dalam kalangan masyarakat.

Antologi ini juga bakal memuatkan jumlah karya gurindam terbanyak dalam sejarah penerbitan di Malaysia, sekali gus menyasarkan catatan rekod dalam Malaysia Book of Records. Pihak penganjur berbesar hati menjemput para peserta Bengkel Penulisan Gurindam untuk merebut peluang ini dengan menghantar karya gurindam masing-masing bagi menunjukkan hasil dan pencapaian diri setelah mengikuti kelas bimbingan.

Seterusnya, untuk Bengkel Swaterbit yang turut berlangsung baru-baru ini menampilkan Encik Mokhtar Omar, iaitu Pengerusi Koperasi Penulis Nasional (KOPENA) dan AJK Persatuan Penulis Johor  sebagai pembimbing. Beliau telah berkongsi dengan peserta tentang konsep swaterbit bagi peserta memahami prosedur penerbitan buku antologi gurindam yang memuatkan karya mereka kelak.

Selain itu, beliau turut menyampaikan kepada para peserta tentang anatomi buku yang lazimnya diterbitkan, keperluan asas penerbitan swaterbit yang merangkumi aspek modal penerbitan, pengiraan kos buku swaterbit, pengambilan artis ilustrasi, pereka letak (layout), syarikat pencetak, editor, pembaca pruf, pengedar dan lain-lain.

Antara bahan rujukan yang juga disarankan kepada para peserta ialah ciapan daripada blog gurutraning. Blog ini menyiarkan panduan penerbitan buku yang lengkap dan sesuai untuk dijadikan rujukan para peserta khususnya penulis baharu yang ingin  menceburi bidang penulisan dan penerbitan karya dalam bentuk media cetak.

Turut hadir bagi menjayakan program ialah Penyelia Projek, Puan Norhaida Ahmad dan Pengarah Projek, Cik Nur Fitri Osman. Menuju fasa penghasilan karya, diharap projek penerbitan antologi gurindam ini berjaya menerima sambutan yang menggalakkan dari para peserta untuk menghantar karya gurindam masing-masing bagi mencipta sejarah dengan catatan rekod di Malaysia Book of Records sebagai antologi gurindam terbanyak diterbitkan buat kali pertama di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.