24 Oktober 2022, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah teater untuk kanak-kanak iaitu Inang Popin akan dipentaskan pada 27 Oktober hingga 30 Oktober 2022 di KuAsh Theatre, Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, Taman Tun Dr Ismail. Teater terbitan PH7 Production Management ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) menerusi Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK).

Pada 20 Oktober 2022 lalu telah berlangsung sidang media teater karya dan arahan Hariry Jalil di Studio Setapak Satu, Setapak yang turut dihadiri oleh Nasz Sally, Ghadafi Meliki, dan Aida Amron, Aloeng Silalahi serta pegawai perhubungan media teater Inang Popin, Nurbaya Hassan.

Dari kiri; Patricia Gu, Aida Amron, Ghadafi Meliki, Hariry Jalil, Nasz Sally, dan Hamidon Ab. Hamid semasa sidang media teater Inang Popin.

Dalam sidang media tersebut, Hariry menjelaskan bahawa beliau mahu berkongsi rasa tanggungjawab atas khazanah semula jadi kepada kanak-kanak yang merupakan pewaris negara ini.

Saya percaya, kita merupakan penentu masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak. Medium teater dipilih kerana ruangnya yang bersifat akrab mampu menghantar rasa karya kepada penonton.

Melihat judulnya, teater ini segera mengingatkan kepada filem klasik “pecah panggung” dari Hollywood, iaitu Mary Poppins (1964). Maka itu, tentulah ada yang mengaitkannya dengan Mary Poppins, watak ciptaan penulis Inggeris, P. L. Travers.

Jelas Hariry,

Inang Popin merupakan karya pertama saya yang mengisahkan kanak-kanak. Sebelum ini, saya menulis lakon pentas yang mengangkat isu orang dewasa seperti Beng Hock, Le Jeu La Julia, Selamat Hari Natal – Natalie, Surat Sabariah, dan Orang Asing.

Watak pengasuh sakti Mary Poppins, tambah Hariry, dicipta untuk memenuhi harapan kanak-kanak, selain mendidik mereka agar menjadi lebih berani, dan berdikari.

Katanya lagi,

Mary Poppins memang mengilhamkan saya untuk mencipta watak Inang Popin, iaitu gabungan watak Inang Pengasuh dalam cerita persembahan tradisional Melayu seperti bangsawan dan makyung, dengan gambaran lebih dikenali kanak-kanak pada masa ini. “Popin” ialah sebutan kolokial bagi ‘Poppins’.

Antara aksi menarik dalam babak ketiga teater Inang Popin.

Sidang media Inang Popin turut dihadiri penerbit teater berkenaan, iaitu Hamidon Ab. Hamid dan Patricia Gu. Dengan pengalaman lebih 30 tahun mengurus seni persembahan sama ada tempatan mahupun antarabangsa, mereka menganggap pemberian GSSK merupakan dorongan MoTAC kepada penggiat seni teater tanah air agar terus berkarya selepas dua tahun dalam “era gelap”.

“Namun kami turut mengharapkan sokongan daripada pihak korporat. Hal ini disebabkan industri seni persembahan tanah air masih belum menemukan sebuah formula menjana pendapatan daripada pementasan kerana kesedaran masyarakat terhadap teater tidak seperti di negara Barat,” kata Hamidon yang disokong oleh Patricia.

Mereka berpendapat bahawa galakan dan sokongan daripada kerajaan dan korporat masih diperlukan demi kelestarian seni teater tanah air. Selain itu, teater kanak-kanak di negara kita kurang mendapat perhatian berbanding dengan teater konvensional. Sebelum sidang media berlangsung, wakil media yang hadir berpeluang menonton fragmen Inang Popin (babak ketiga) yang dijayakan oleh Nasz, Ghadafi dan Aida.

“Kami sedang berusaha menambah jumlah karya teater kanak-kanak. Walaupun Inang Popin tidak melibatkan pelakon kanak-kanak, tetapi isu dan konsep persembahannya memang khusus untuk kanak-kanak. Justeru, kehadiran para pelajar sekolah amat dialu-alukan,” tambah Hamidon.

Aida, 24 tahun, pelakon paling muda dalam teater ini merupakan graduan Diploma Sains Geomatik di UiTM Perlis selama tiga tahun. Meskipun pengajiannya dalam bidang seni bina, perancangan dan ukur, tetapi minat membuatkan dia bebas menjadi diri sendiri, dan memilih aliran seni. Antara teater yang pernah beliau terlibat ialah Yang Kalah (2017), Familia (2018), Nadirah (2019), Puspita (2020) dan Pelamin Anganku Mus…tahil (2021).

Ghadafi, anak kelahiran Sarawak menyertai beberapa kumpulan teater di Lembah Klang demi menimba ilmu, dan memenuhi minatnya yang mendalam terhadap teater. Anak lelaki tunggal daripada enam beradik berusia 33 tahun ini pernah menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Aloeng, pemenang dua kali kategori Pelakon Lelaki Terbaik Festival Teater Malaysia Negeri Sembilan pada tahun 2017 dan 2019 pula merupakan alumni Institut Seni Indonesia dan Fakulti Teater ASWARA yang aktif sebagai tenaga pengajar, Jurulatih Seni Budaya Negara, Ketua Fasilitator Program Penghayatan Pementasan Sastera dan Bahasa kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka, dan PLKN Negeri Sembilan.

Inang Popin mengisahkan Ana (lakonan Aida) dan Noman (Ghadafi), dua orang kanak-kanak yang mengharapkan perlindungan selepas kematian ibu bapa, dan kampung mereka pula telah dimusnahkan oleh Tuan Tamak (Aloeng Silalahi).

Ana dan Noman membawa diri ke hutan untuk mencari Inang Pengasuh yang menjadi dongengan orang kampung. Setelah menempuhi pengembaraan yang mencabar, mereka akhirnya berjaya bertemu dengan Inang Pengasuh (Nasz) yang mempunyai kuasa sakti.

Inang Pengasuh yang dianggap sebagai “Mary Poppins” itu menjaga serta mengasuh Ana dan Norman agar menjadi manusia yang bertanggungjawab terhadap kelestarian hutan. Oleh itu, apabila Tuan Tamak menceroboh hutan demi keuntungan peribadinya, Ana dan Noman tampil dengan berani bertindak mempertahankan hutan tersebut.

Tiket untuk kanak-kanak dan orang kelainan upaya berharga RM30 dan  RM50 untuk dewasa. Harga tiket pakej keluarga hanya RM120 untuk dua kanak-kanak, dan dua dewasa.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.