20 Oktober 2022, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Minggu Fiksyen Mahakarya diadakan dari 16 hingga 19 Oktober 2022 menerusi platform media sosial.

Kuala Lumpur – Dengan matlamat untuk merevolusikan dunia fiksyen tanah air, The Patriots melalui label imprint Mahakarya telah mengadakan Minggu Fiksyen Mahakarya yang berlangsung pada 15 hingga 19 Oktober 2022.  Dalam tempoh tersebut, Mahakarya mengetengahkan karya fiksyen yang merangkumi pelbagai genre dan kisah melalui pelbagai program yang diadakan selama lima hari meraikan karya fiksyen.

Dalam laman Facebooknya, Mahakarya yang sudah menerbitkan lebih 10 judul fiksyen mengimpikan karya fantasi yang memukau, karya seram yang menggerunkan, karya thriller yang menggusarkan, karya fiksyen sains yang menakjubkan, dan karya aksi yang mendebarkan pembaca. Selama lima hari berlangsungnya Minggu Fiksyen Mahakarya, beberapa pertandingan telah diadakan, dan pertandingan tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada penulis, terutamanya penulis muda yang menggemari karya fiksyen genre seram, fantasi dan fiksyen sains.

Pembukaan Minggu Fiksyen Mahakarya bermula dengan sesi Bedah Buku Pencari Cinta Sakti karya Aliff Mustafa yang berlangsung melalui Twitter Space pada 18 Oktober 2022 pukul 9.00 malam. Peminat karya fiksyen ini berpeluang bertanyakan soalan dengan penulis, dan antara yang dikupas termasuklah soal pengolahan cerita fantasi dan idea merangka karya fiksyen genre fantasi.

Seterusnya pada 16 Oktober 2022 telah diadakan Pertandingan Kongsi Cerita Seram yang dikendalikan oleh Saidee Nor Azam dan Naim Tamdjis, juga berlangsung melalui Twitter Space. Pemenang pertandingan ini menerima hadiah RM100 dan novel Sate untuk Jembalang karya Saidee Azam. Antara cerita seram yang dikongsi oleh peserta yang berada dalam Twitter Space termasuklah kisah seram di makmal forensik dan kisah terserempak dengan hantu.

Pertandingan Review Drama Korea Berkaitan Korea Utara dan Korea Selatan pula diadakan pada 17 Oktober 2022. Melalui pertandingan ini, penulis yang membuat ulasan drama Korea itu perlu memuat naik ulasan mereka dalam Facebook dan Instagram masing-masing dengan meletakkan tanda pagar #MingguMahakarya. Pemenang pertandingan ini menerima hadiah RM100 dan novel Migrasi yang Berlumpur karya Jeong Young-Sun.

Pada hari keempat, iaitu 18 Oktober 2022 diadakan pula Pertandingan Cerita Pendek. Penulis yang menyertai pertandingan ini disyaratkan menggunakan perkataan “sabotaj”, “drama” dan “tangisan” dalam penulisan cerita pendek yang perlu dimuat naik dalam laman Facebook dan Instagram masing-masing berserta tanda pagar #CeritaPendek dan #MingguMahakarya.  Cerita pendek yang terpilih sebagai pemenang menerima hadiah RM100.

Sesi Bedah Buku Cinta Terbelah di Laut Merah karya Ilham Mazalan dan Hikayat Adiwangsa karya Awan Wafdan.

Melalui laman Instagram The Patriots pula, sesi Bedah Buku Cinta Terbelah di Laut Merah karya Ilham Mazalan dan Hikayat Adiwangsa karya Awan Wafdan yang berlangsung pada 19 Oktober 2022 pukul 9.00 malam menjadi acara terakhir sempena Minggu Fiksyen Mahakarya. Antara yang dibicarakan termasuklah soal sejauh mana karya fiksyen mewakili suara penulis dan adakah fiksyen dianggap karya yang tidak ilmiah? Pada hari yang sama diadakan juga Pertandingan Reviu Quote Novel Cinta Terbelah di Laut Merah. Pembaca yang menyertai pertandingan ini menghantar ciapan melalui laman Twitter masing-masing dengan memberikan ulasan mengapa quote itu terpilih dan terkesan di hati mereka. Pemenang pertandingan ini menerima hadiah RM50.00.

Sepanjang berlangsungnya minggu fiksyen tersebut, Mahakarya mengadakan jualan buku dan menawarkan diskaun 30% untuk pembelian novel fiksyen terbitannya. Antara judul novel fiksyen di bawah imprint Mahakarya termasuklah Puteri Bunian Bulan karya Alif Mustafa, Dirgahayu karya Helmi Efendy, Sabotaj karya Rizal Ramli dan Sate untuk Jembalang karya Saidee Nor Azam.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.