17 Oktober 2022, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dunia teater tanah air semakin kekurangan naskhah baharu yang menarik untuk dipersembahkan kepada umum. Ketandusan naskhah baharu yang baik telah menyebabkan bahan rujukan semakin berkurang, baik untuk pementasan mahupun pembelajaran, Pesta Teater Runcit 2.0 merupakan sebuah pertandingan teater pendek yang mengumpulkan naskhah baharu yang terpilih untuk dipersembahkan. Pesta Teater Runcit ini merupakan anjuran Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang diadakan pada 14 hingga 16 Oktober yang bertempat di panggung eksperimen ASWARA.

Sebanyak sepuluh kumpulan telah dipilih dan akan bertanding bagi memaparkan idea, skrip, sinografi, kepengarahan dan lakonan mengikut kreativiti mereka sendiri dengan tema “Masa Lampau, Masa Depan”. Sepuluh naskah yang terpilih ini telah menampilkan beberapa penulis muda dan veteran dalam satu platform seni yang kini hampir dilupakan. Antaranya ialah Alfidzi, Fattah Fawzy, Prof Shark, Ira Rizal, Yusuf Zalfakhar, Hanan Barakbah, Amar Asyraf, Fatema Sani, Raimi Jaafar, Amirul Hakim Dalaiil  dan Anisah Othman.

Pesta Teater Runcit ini telah memberikan satu peluang baharu buat penggiat seni teater untuk kembali beraksi di pentas fizikal selepas wabak pandemik yang menyerang dunia sejak dua tahun lalu. Naskhah yang dipilih oleh pihak juri juga merupakan naskhah yang berpotensi untuk dijadikan rujukan sebagai naskhah terbaik pada era ini.

Forum: Seni Teater Impak Pasca Pandemik menampilkan Chris Ling, Dr Norzizi Zulkifli dan Khairunazwan Rodzy sebagai panel pembicara.

Selain persembahan sepuluh naskhah yang dipilih, pihak penganjur juga mengadakan sesi Forum: Seni Teater Impak Pasca Pandemik yang menjemput Chris Ling, Dr Norzizi Zulkifli dan Khairunazwan Rodzy sebagai panel pembicara untuk berkongsi tentang impak dunia seni tanah air sewaktu pandemik dan saat negara sedang melalui fasa endemik.

Barisan pemenang yang berjaya dalam Pesta Teater Runcit.

Perkongsian ini secara tidak langsung telah memberikan anak muda tentang gambaran sebenar bahawa dunia seni tanah air ini akan melalui evolusi untuk menyesuaikan diri dengan situasi semasa. Dr Norzizi Zulkifli berkata, dunia teater dahulu berpegang pada definisi ruang fizikal dalam aspek persembahan. Tetapi kini, teater boleh dilakukan di mana-mana ruang yang ada secara dalam talian asalkan teater mampu untuk terus kekal relevan.

Penyampaian Forum: Seni Teater Impak Pasca Pandemik ini diteruskan lagi dengan penyampaian anugerah yang dinanti-nantikan oleh sepuluh kumpulan yang terlibat. Anugerah Pesta Teater Runcit ini dibahagikan pada tujuh kategori dan tiga kategori utama. Tempat Pertama dimenangi oleh TANDAS karya Fatema Sani, diikuti tempat kedua, Gelungnya Matahari karya Fattah Fawzy dan tempa ketiga dimenangi oleh Kali Ini Undilah karya Raimi Jaafar.

Naskhah baharu yang dipertandingkan pada kali ini telah memberikan ruang kepada penulis muda untuk mencurahkan kreativiti mereka dalam penceritaan melalui satu perspektif yang baharu dan secara tidak langsung telah memberikan peluang dan ruang kepada penggiat teater untuk mereka berkarya secara runcit tanpa melibatkan kos yang besar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.