6 Oktober 2022, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Dr. Shafa’atussara Silahudin telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Biduan Syair ASEAN di Festival Setanggi Antarabangsa 2022 yang diadakan di Widad Convention Centre, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang. Selain itu, tetamu kehormat yang turut hadir bersama-sama ialah Tuan Haji Mesran Mohd. Yusop, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Dr. Shafa’atussara Silahudin meminati syair sejak di sekolah rendah lagi.

Menceritakan kembali pelibatan beliau dalam dunia syair, penulis tetap ruangan “Tinta Warisan”, majalah Tunas Cipta sejak keluaran Bil.1/2022 hingga kini mengatakan bahawa sejak berada di bangku sekolah rendah lagi, beliau telah meminati irama syair.

Syair bukanlah asing bagi saya. Alunan irama syair mula diperdengarkan kepada saya ketika di sekolah rendah. Pada awal tahun 1990-an, saya sering mendengar syair yang didendangkan menerusi drama radio.

Tambahnya lagi, bermula tahun 2000, beliau mula menyertai pertandingan gurindam antara sekolah daerah Kuantan. Kemudian, ketika menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaya, beliau telah berkenalan dengan Pak Tenas Effendy dari Pekanbaru Riau, Indonesia yang pada masa itu merupakan Felo Tamu di Akademi Pengajian Melayu.

Melalui Pak Tenas, saya belajar mengenai puisi syair. Selain itu, Pak Tenas juga telah mengundang saya ke Pekanbaru Riau untuk mempersembahkan dendangan syair sempena Sambutan Hari Jadi Pekanbaru 226 tahun.

Bagi Dr. Shafa’atussara, beliau berinspirasi untuk melestarikan syair dalam kalangan masyarakat kerana syair dilihat sebagai puisi tradisional yang berpotensi untuk mempopularkannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.