5 Oktober 2022, 07:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani –  Sebanyak 20 peserta yang terdiri daripada 12 Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), tiga pelajar dan lima orang awam menyertai Bengkel Penulisan Buku Kanak-kanak dan Remaja yang diadakan di Kolej Komuniti, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.Bengkel yang diadakan itu merupakan anjuran IBH Khidmat dengan kerjasama ASASI dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bengkel tersebut menampilkan dua orang editor dari Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja dari DBP Kuala Lumpur iaitu Puan Shakira Khairudin dan Puan Noreena Zolkeplee untuk menyampaikan ceramah mengenai panduan untuk menghasilkan sebuah manuskrip buku kanak-kanak dan remaja.

Puan Shakira Khairudin ketika memberikan penerangan berkaitan dengan panduan menghasilkan manuskrip buku kanak-kanak dan remaja.

Menurut Puan Shakira Khairudin, setiap peserta bengkel perlu memahami panduan untuk menghasilkan manuskrip yang baik dan menepati tempoh masa yang telah ditetapkan oleh DBP untuk proses penilaian.

Bagi Puan Noreena Zolkeplee pula, setiap peserta bengkel perlu memahami tema dan persoalan yang ingin disampaikan dalam setiap karya yang ditulis dan setiap penulis juga perlu bijak untuk menyampaikan isi dan jalan cerita yang ingin diketengahkan dalam setiap karya yang ditulis itu.

Bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Ilhami Hisham itu turut diserikan dengan ceramah penulisan yang disampaikan oleh Putraery Ussin yang membicarakan mengenai panduan untuk menghasilkan manuskrip buku kanak-kanak dan remaja yang menepati piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak DBP sendiri. Beliau yang juga merupakan  Ketua Dua ASASI turut berkongsi pengalaman beliau yang telah menghasilkan sebanyak 32 buah buku.

Setiap peserta bengkel itu dikehendaki menyiapkan manuskrip buku kanak-kanak dan remaja dan menyerahkan manuskrip tersebut kepada Ketua Dua ASASI, Putraery Ussin pada 30 November 2022 dan bengkel kedua akan diadakan selepas tarikh penyerahan manuskrip tersebut.

Pada akhir majlis, semua peserta bengkel turut menerima sijil penyertaan yang disampaikan oleh Ketua Dua ASASI, Putraery Ussin dan penyelaras bengkel (IBH Khidmat), Ilhami Hisham.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.