Oleh Nazrul Aziz
26 September 2022, 21:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Keputusan Pertandingan Drama KOMSAS Peringkat Negeri Perlis bersempena dengan Aktiviti Koakademik Bahasa Melayu (SM) 2022.

Perlis – Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis telah berjaya memenangi kesemua anugerah bersempena dengan Pertandingan Drama KOMSAS Peringkat Negeri Perlis bersempena dengan Aktiviti Koakademik Bahasa Melayu (SM) 2022, sekali gus telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama pertandingan. Pertandingan yang diadakan secara dalam talian ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Pertandingan drama KOMSAS ini dilihat sebagai antara cara untuk mengembangkan lagi teknik pengajaran dan pembelajaran teks komponen sastera selain memberikan lebih kefahaman kepada pelajar mengenai teks KOMSAS ini.

SMK Perlis yang mempertaruhkan drama KOMSAS bertajuk Bukan Gila telah memenangi Anugerah Sinematografi Terbaik dan Anugerah Pengarah Terbaik  (Syamimi Nur Irdina Shamsul Arif). Pelakon yang memegang watak sebagai Ani iaitu Nursyazrina Khairol Azrie pula telah dianugerahkan sebagai Anugerah Pelakon Wanita Terbaik manakala Adam Harith Ayub yang memegang watak sebagai Azmir telah dianugerahkan sebagai Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Bukan Gila ini mengangkat tema ketabahan anak muda yang terpaksa melawan penyakit barah otak yang dihidapinya bersendirian. Drama Bukan Gila ini dipecahkan kepada beberapa adegan yang melibatkan beberapa lokasi berbeza seperti di hospital, di studio latihan lakonan dan di rumah.

Antara pengajaran yang ditonjolkan dalam drama Bukan Gila ini adalah kita hendaklah sentiasa prihatin terhadap nasib orang lain dan seharusnya membantu untuk meringankan beban mereka. Selain itu kita hendaklah sentiasa menghargai jasa orang lain supaya orang itu tidak berasa dipinggirkan. Drama ini juga mengajar kita untuk sentiasa menzahirkan perasaan kasih sayang yang sepenuhnya terutama kepada orang yang terdekat dengan kita.

Antara objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat dan potensi pelajar  dalam bidang lakonan bermula dari peringkat sekolah lagi. Selain itu, pertandingan ini dapat mengasah bakat pelajar untuk menyampaikan skrip dalam bentuk dialog dan penghayatan mengikut watak selain dapat mengasah kemahiran dan ilmu pelajar dalam bidang rakaman dan suntingan video.

Mengangkat tema aspirasi Keluarga Malaysia, peserta hanya dibenarkan mementaskan drama berdasarkan teks KOMSAS tingkatan satu hingga tingkatan lima sahaja dan hanya terbuka kepada sekolah bantuan kerajaan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Berbeza dengan tahun terdahulu iaitu sejak perintah kawalan pergerakan diperkenalkan ketika COVID-19 melanda negara, pertandingan ini telah mula diadakan secara rakaman video. Setiap pasukan yang bertanding perlulah melakukan rakaman video secara rakaman pegun dan tidak boleh melalui proses suntingan serta video lengkap tidak boleh melebihi durasi 15 minit.

Menurut Cikgu Aqilah yang juga merupakan guru pembimbing pasukan drama SMK Perlis, antara cabaran yang dihadapi sepanjang menyertai pertandingan ini ialah pelakon yang baharu pertama kali mencuba untuk berlakon selain mereka ini tidak ada pengalaman berlakon apatah lagi perlu berlakon di hadapan kamera dan melalui proses rakaman video.

Selain itu, beliau turut berkata bahawa pasukan ini akan berusaha bersungguh-sungguh dalam mengharumkan nama negeri Perlis di peringkat kebangsaan kelak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.