26 September 2022, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Bersempena dengan penganjuran Karnival Puisi Nusantara 2022 oleh Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelajar dan alumni dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menghantar penyertaan bagi Pertandingan Mencipta Sajak, Mencipta Pantun dan Mendendangkan Syair.

Karnival bertaraf antarabangsa ini diadakan secara hibrid sejak 6 Ogos 2022 hingga 24 September 2022 dengan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Setiap pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kategori 1 untuk peserta berumur 15 hingga 21 tahun dan Kategori 2 untuk peserta berumur 22 hingga 30 tahun. Sebanyak lapan tema telah diberikan dan peserta dikehendaki memilih satu tema. Bermula pada 7 September 2022, setiap peserta dikehendaki menghantar pautan video yang telah dimuat naik ke YouTube dan karya masing-masing ke email pihak penganjur sebelum atau pada tarikh akhir yang telah ditetapkan iaitu 11 September 2022 bagi Pertandingan Mencipta Sajak dan 15 September 2022 bagi Pertandingan Mencipta Pantun dan Pertandingan Mendendangkan Syair.

Johan Pantun kategori 2.

Keputusan bagi Pertandingan Mencipta Pantun menyaksikan rekod cemerlang berjaya dicatatkan oleh pelajar UIAM, apabila Nisa Madihah Nazri dinobatkan selaku Juara kategori 1 dengan membawa hadiah wang tunai sebanyak RM1000, cenderamata dan e-sijil. Bagi kategori 2 pula, alumni dan mantan pemantun pasukan UIAM iaitu Muhamad Azuan Nordin dan Nur Fatin Ainina Nor Azman telah meraih tempat ketiga dan tempat keempat dengan masing-masing memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM800 dan RM500, cenderamata dan e-sijil. Mereka telah menghasilkan karya pantun bertemakan Khazanah Warisan Bangsa Johor dan Melestarikan Warisan Bangsa.

Seterusnya, bagi Pertandingan Mendendangkan Syair kategori 2, UIAM turut mengungguli tangga teratas keputusan apabila pelajarnya yang sedang berada dalam semester akhir jurusan Kesusasteraan Bahasa Arab, iaitu Mohammad Ikhwan Afeeq Ahmad Nizam muncul sebagai johan selepas membawakan “Syair Cintai Bahasa Melayu”, karya Roslan Madun dengan Irama Tok Kenali. Beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1200, cenderamata dan e-sijil. Mengekori rapat pencapaian ini ialah alumni UIAM daripada jurusan Undang-undang (Kepujian), iaitu Nur Fatin Ainina Nor Azman, yang meraih tempat naib johan dan membawa hadiah wang tunai berjumlah RM1000, cenderamata dan e-sijil. Beliau telah mendendangkan “Syair Hindari Fitnah”, karya Roslan Madun yang termuat di dalam buku terbaharunya, Syair Lirik dengan Irama Perantau.

Mohamad Izwan Norhan, Johan Pertandingn Mencipta Sajak kategori 2.

Bagi Pertandingan Mencipta Sajak kategori 2, pelajar tahun tiga jurusan Undang-undang yang juga merupakan Mantan Presiden Kelab Bahasa dan Persuratan Melayu (KBPM) UIAM, Mohamad Izwan Norhan telah disenarai pendek untuk berentap di Pertandingan Akhir Mencipta Sajak yang diadakan sewaktu Majlis Perasmian Penutupan Karnival Puisi Nusantara pada 24 September 2022 yang bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM. Dengan mempertaruhkan karyanya sendiri berjudul “Bahtera Bangsa Merdeka”, Izwan telah menambat hati para juri dengan karya dan persembahannya yang memukau dan kemudiannya dinobatkan selaku Johan dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1200, cenderamata dan e-sijil.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, YBhg. Cik Norlizah binti Noh sekali gus merasmikan Majlis Penutupan Karnival Puisi Nusantara. Karnival ini mendapat kerjasama daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Komuniti Menulis Malaysia (KISMY), Alumni UTM, Kelab Pengajian Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Kalimah Baiduri, Universiti Teknologi Nanyang Singapura dengan tajaan Pejabat Menteri Besar Johor. Turut bekerjasama ialah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN), Institut Dato’ Onn, Yayasan Raja Zarith Sofea dan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Jabatan Warisan Negara, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Johor FM Permata Selatan, Mohd Noh b. Ibrahim Consulting Engineer dan Zara Food Sdn Bhd.

Persembahan Syair dan Lagu Tradisional oleh Kumpulan Kombo UTM.

Karnival Puisi Nusantara ternyata telah berjaya menarik ramai anak muda khususnya golongan pelajar dari UIAM untuk mengembangkan bakat dalam bidang puisi. Penganjuran karnival ini diharap dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan bagi melahirkan lebih ramai lagi bakat muda dari seluruh tanah air dan nusantara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.