21 September 2022, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Majlis Perasmian Penutupan Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 telah berlangsung dengan jayanya pada petang ini, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh tetamu kehormat, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Pengerusi Kumpulan UMW merangkap Penaung Kelab Kreatif UMW, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Ahmad Fuaad Mohd Kenali, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan UMW, YBhg. Dato’ Hj. Pkharuddin Hj. Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang juga merupakan Ali Lembaga Pengelola DBP,  YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan YBhg. Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negara ke-15.

Dalam konteks puisi, YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam ucapan perasmian menyatakan pandangannya bahawa puisi dapat melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran analitik, iaitu cara pemikiran yang sistematik. Hal ini dikatakan demikian kerana, untuk menghasilkan sesebuah puisi, penulis perlu memilih perkataan yang bermakna dan konotasi yang berbeza dalam ayat yang berlainan. Hal ini secara tidak langsung dapat membangunkan pemikiran murid yang lebih tersusun dan cermat dalam menyatakan idea atau perasaannya terutama dengan menggunakan kata-kata.

YB Datuk Dr. Radzi Jidin dalam Majlis Penutupan Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022.

Tujuan Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 anjuran Kumpulan UMV dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia serta DBP adalah untuk menyuburkan semangat cinta akan negara dan menghayati semangat kemerdekaan, di samping mengukuhkan jati diri generasi pada masa ini. Menyingkap sejarah, usaha Kumpulan UMW untuk memartabatkan seni puisi ini telah bermula pada tahun 2021 dengan pelancaran Kelab Kreatif UMW. Matlamatnya adalah untuk melestarikan dan memartabatkan puisi bukan sahaja dalam kalangan penggiat puisi UMW, tetapi pada masa yang sama mengetengahkannya sebagai satu agenda nasional untuk memartabatkan puisi pada kedudukan yang sewajarnya.

Pemenang bergambar kenangan dengan tetamu kehormat.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa sastera mempunyai peranan yang besar untuk membentuk sikap masyarakat agar menjadi lebih prihatin terhadap memelihara seni puisi sebagai khazanah bangsa dan negara, di samping membentuk jati diri rakyat Malaysia yang berfikiran kreatif, kritis dan terus berdaya maju terutama golongan muda yang merupakan pelapis pemimpin negara.

Sehubungan dengan itu, sayembara penulisan dan deklamasi puisi ini merupakan satu cabang prestasi dan iltizam Kumpulan UMW untuk meluaskan lagi siri program seni sastera yang bertujuan untuk mencungkil bakat bukan sahaja dalam kalangan kakitangan UMW, malah dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh Malaysia dalam bidang penulisan dan deklamasi puisi.

 Kumpulan UMW sebagai sebuah kumpulan korporat terpanggil untuk menyantuni dunia seni secara lebih dekat sebagai tanggungjawab sosial. Hal ini sedikit sebanyak dapat memberikan nafas baharu dalam merancakkan lagi apresiasi masyarakat terhadap seni dan sastera. Semoga usaha Kumpulan UMW ini menjadi contoh kepada agensi korporat dan swasta yang lain untuk turut serta mendukung perkembangan dan kekayaan seni sastera tanah air secara kolektif dan lebih komprehensif.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada pihak yang banyak membantu Kumpulan UMW dalam hal yang berkaitan dengan seni dan sastera, khususnya DBP selaku rakan kolaborasi. Selain itu, beliau turut menghargai sokongan KPM terhadap usaha Kumpulan UMW dalam merealisasikan penganjuran bengkel dan sayembara puisi. Menjadi hasrat Kumpulan UMW untuk bersama-sama dalam mencorakkan watak dan keperibadian bangsa Malaysia agar dikenali di seluruh dunia melalui seni puisi.

Kita harus berpegang pada nilai kebudayaan yang antaranya dicernakan dalam seni puisi. Maka itu, menjadi tanggungjawab kita untuk melahirkan insan yang berbudaya dan berteknologi tinggi serta insan yang mempunyai kekuatan dalaman yang teguh kerana tanpa kekuatan dalaman, tanpa  jati diri yang utuh, dan tanpa keperibadian luhur, kita akan tenggelam dalam nostalgia tradisi dan budaya sendiri.

Semoga penganjuran ini menjadi titik tolak ke arah penganjuran aktiviti seumpama ini agar lebih banyak pelajar mendapat peluang dan manfaat dalam memperkasakan kemahiran dan memperkayakan pengetahuan mereka tentang nilai estetika seni kreatif khususnya puisi. Mengakhiri ucapannya, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama membaca sajak nukilan beliau yang bertajuk “Terima Kasih”.

Dato’ Rahman Shaari yang bertindak sebagai Ketua Hakim Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022, menyatakan kekaguman beliau terhadap kesungguhan yang dipamerkan oleh para peserta. Katanya, rumit untuk menyenaraikan kelemahan peserta yang bertanding pada kali ini, kerana rata-rata daripada peserta hanya melakukan kesalahan minimum, contohnya seperti lupa teks dan tertukar nada dalam penyampaian mereka. Secara kesimpulannya, beliau menasihatkan peserta supaya terus mempelajari teknik penyampaian seperti penyebutan kata (artikulasi) yang betul, nada mesti difahami dengan jelas, elakkan daripada menggunakan nada yang berlebih-lebihan dalam meluahkan perasaan dan penggunaan bahasa badan.

Pemenang Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022.

Sayembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 ini dilaksanakan dalam dua kategori, iaitu kategori 1 (tahun 4 – tingkatan 2) dan kategori 2 (tingkatan 3 – tingkatan 5). Johan Sayembara Penulisan Puisi kemerdekaan Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat kebangaan 2022 untuk kategori 1 telah dimenangi oleh Nur Zara Sofia Zakaria dari Sekolah Kebangsaan Seri Tasik, Cheras, Kuala Lumpur dengan sajak berjudul “Teguh Bersama Sehati Sejiwa”. Pemenang menerima wang tunai sebanyak RM350, trofi iringan, sijil dan buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, nukilan R. Hamkama.

Seterusnya naib johan pula berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM250, trofi iringan, sijil dan sebuah buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, nukilan R. Hamkama yang dimenangi oleh Nurul Azzahrah Kausar Mohd Nazri dari Sekolah Kebangsaan Lok Yuk Inanam, Kota Kinabalu Sabah melalui sajak yang berjudul “Di Halaman Ini”. Muhammad Adi Zakwan Mohd Azmi dari Sekolah Kebangsaan Besout 3, Sungkai, Perak dengan sajak berjudul “Merdekakah Kita?” dipilih sebagai pemenang tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM150, trofi iringan, sijil dan buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin oleh R. Hamkama.

Untuk kategori 2 pula, pemenang akan menerima wang tunai sebanyak RM500 (johan), RM400 (naib johan) dan RM300 (tempat ketiga) di samping trofi iringan, sijil dan sebuah buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, nukilan R. Hamkama. Maka itu, johan ialah Aisyah Noor Balqis Muhammad Asri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tasik, Cheras, Kuala Lumpur dengan sajak berjudul “Megah Bangsaku, Menyambut Merdeka”. Widad Sofea Zul Amri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sharifah Rodziah, Alor Setar, Kedah memenangi naib johan dengan mempertaruhkan sajak berjudul “Wadah Merdeka” dan tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Haidir Syafi Hassan dari Sekolah Menengah Sains Rembau, Negeri Sembilan dengan sajaknya yang berjudul “Diksi Terungkap”.

Untuk Sayembara Deklamasi Puisi Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat kebangsaan 2022 (kategori 1), pemenang menerima wang tunai RM350 (johan), RM250 (naib johon) dan RM150 (tempat ketiga). Setiap pemenang juga akan menerima hadiah berupa trofi iringan, sijil dan sebuah buku Kumpulan Sajak Mengejar Angin, karya R. Hamkama. Johan kategori ini dimenangi oleh Puteri Kaleisha Qistina Kamaruddin yang mendeklamasikan puisi berjudul “Citra Jiwa Merdeka”, nukilan Abdul karim Gulam. Seterusnya naib johan dimenangi oleh Khairun Nisa Khalil yang mendeklamasikan puisi nukilan Rahimidin Razali yang berjudul “Tok Janggut”, manakala pemenang tempat ketiga ialah Ahmad Akif Hamizan Rahman yang mendeklamasikan puisi Ab. Rani Embi yang berjudul “Jangan Gendang Bertingkah Lagi”.

Pemenang kategori 2 pula akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 (johan), RM400 (naib johan) dan RM300 (tempat ketiga). Setiap pemenang juga akan menerima trofi iringan, sijil dan buku karya R. Hamkama berjudul Kumpulan Sajak Mengejar Angin. Johan dimenangi oleh Muhammad Rejab Mamor yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Citra Jiwa Merdeka”, karya Abdul Karim Gulam. Nur Nazeefah Mohd Khairil Anuar dipilih sebagai naib johan setelah mendeklamasikan sajak berjudul “Di Relung Akrab Bangsa” nukilan Akmal Aizat Abdul Aziz, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Luqman Ammar Mohd Raimi yang mempersembahkan sajak “Sumbangsih Buat Nusa Bangsa”, karya Jamilah Harun.

Majlis yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia ini telah diserikan dengan persembahan tarian daripada pelajar Sekolah Seni Kuala Lumpur, tayangan video imbasan sayembara penulisan dan deklamasi puisi, persembahan bicara berirama daripada pelajar Sekolah Menengah Bandar Tasik Selatan, persembahan puisi dan persembahan nyanyian oleh Zaki Yamani.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut  dan nota Bengkel Penulisan Kreatif dan Deklamasi Puisi, klik pada pautan ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.