Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Kubu Bharu – Baru-baru ini, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah telah mengadakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Menariknya, majlis tersebut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk “Di Sini Lahirnya Wira Merah” nukilan Azmi Ismail, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Muhammad yang juga Komandan ABPM Wilayah Tengah.
Menurut Tuan Azmi, bait puisi ini terilham sewaktu beliau terkenang kembali kenangan menjalani latihan kebombaan suatu masa dahulu. Jasa dan pengorbanan jurulatih yang banyak mengajar beliau berkaitan dengan ilmu kebombaan sangat dihargai dan diterjemah dalam puisi tersebut.
Selain itu, secara tersiratnya, puisi ini dihasilkan untuk menimbulkan semangat dalam kalangan pelatih dan pegawai kadet dalam menghadapi alam pekerjaan sebagai ahli bomba. “Sentiasa siap sedia setiap masa, seerat serasa sehati sejiwa …” merupakan antara bait yang perlu disemaikan dalam diri pelatih dan pegawai kadet. Bersedia menghadapi sebarang bencana yang datang tanpa diundang tanpa mengira masa dan ketika, serta mengamalkan sikap bekerja secara berpasukan.
Bukan hanya ketika indahnya cuaca
Malah tika terik mentari membakar tubuh
Saat lebat hujan menimpa bumi
Latihan tetap diteruskan seperti biasa
Umpama bencana yang hadir tidak mengenal waktu dan ketika
Tubuh-tubuh ini dilatih untuk terus cekal menghadapai cabaran yang mendatang.
Menurut Tuan Azmi lagi, rangkap tersebut mengambarkan kenangan hadirin, terutama pesara bomba sewaktu mereka menjalani latihan suatu ketika dahulu. Latihan dijalankan pada setiap waktu walaupun tanpa mengira keadaan cuaca.
Puisi “Di Sini Lahirnya Wira Merah” turut menyelitkan sejarah awal ABPM Wilayah Tengah yang bermula dengan nama Pusat Latihan Bomba seawal tahun 1972. Bermula dengan hanya 12 ekar tanah dan kini setelah 50 tahun, ribuan wira merah dilahirkan di akademi ini. Semua ini dizahirkan dalam puisi yang telah dideklamasikan dengan penuh beremosi oleh Pegawai Kadet Mohd Nazrullah Abdul Aziz yang juga penulis muda yang aktif dalam bidang penulisan kreatif.
Sambutan yang diadakan di Auditorium Haji Mansur, ABPM Wilayah Tengah ini telah disempurnakan oleh Yang Setia Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pada majlis ini, lebih 100 orang pesara bomba hadir mengimbau kenangan ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Bomba (nama lama ABPM Wilayah Tengah). Lebih bermakna lagi, majlis ini turut dihadiri oleh mantan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, mantan Komandan ABPM Wilayah Tengah dan Pengarah Bomba Negeri.