17 September 2022, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penerima Anugerah Biduan Syair Negara.

Kuantan – Dengan mengangkat tema “Unsur Islam dalam Syair”, Persatuan Bitara Syair Nusantara (BITARA) mengadakan Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa 2022 di Widad Convention Centre, Widad University College, Kuantan, Pahang. Pertandingan syair yang diadakan bersempena Festival Syair, Teater dan Seni Tradisi Antarabangsa 2022 (Setanggi) ini mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kerajaan Negeri Pahang dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

Memasuki tahun kelima penganjuran, pertandingan syair ini mendapat penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam. Sebanyak 10 orang peserta telah mara ke pertandingan akhir yang berlangsung pada 16 September 2022 yang berlangsung secara hibrid (persembahan langsung dan rakaman video). Para peserta pada asalnya telah dinilai melalui hantaran video sebelum terpilih sebagai finalis.

Juara 2021 dan Juara 2022.

Nur Nabihah Shukeri dari Malaysia, bertuah kerana dinobat sebagai juara dalam Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa ke-5 2022 dengan membawa hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5000 dan selempang. Naib Juara disandang oleh Yusnorsyazana Mohd Yunos dari Malaysia dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2500 dan selempang. Manakala, Muhd Fauzan Iz’aan yang juga dari Malaysia memenangi tempat ketiga dan membawa hadiah wang tunai berjumlah RM1000 dan selempang.

Selain itu, tujuh orang peserta yang lain iaitu Sharif Taip dari Malaysia, Muhammad Fadhli dan Fauzan Fazly dari Indonesia, Ubai Had dan Saiedahuzaimi dari Brunei, Pham Gia Lin dari Vietnam dan Salwa dari Singapura, turut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai berjumlah RM500 dan selempang.

Sebanyak enam orang juri professional telah dilantik bagi mengadili para peserta dalam pertandingan pada tahun ini ialah, Encik Roslan Madun iaitu Maestro Syair Nusantara yang juga merupakan Pengarah Setanggi 2022 dan Pengerusi BITARA, Dato’ ND Lala iaitu penyanyi dan komposer berpengalaman dalam bidang seni suara, teater dan filem, Encik Pebgo Setiawan iaitu Seniman Riau yang pernah menjuarai dan sering menjuri pertandingan syair peringkat antarabangsa, Encik Abdul Rani Ali iaitu komposer dan penggiat seni dalam bidang seni suara, Encik Usop Kopratasa iaitu komposer dan penyanyi terkenal lagu puisi dan Dr. Zefri Ariff iaitu tokoh pelestarian syair melayu.

Pertandingan ini turut dihiburkan lagi dengan persembahan syair dan lagu oleh Fauziah Mahrani dari Indonesia, Dr. Shafaatussara Silahuddin dari Malaysia dan Ibnu Zulqarnain dari Indonesia, yang masing-masing merupakan Juara Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa 2018, 2019 dan 2021. Rusmawani Ishak, Zafirah Bahiah Hassan, Nur Ameera Nabila dan Zarina Saamah selaku pendendang syair profesional di Malaysia turut menerima Anugerah Biduan Syair Negara. Anugerah tersebut diberikan kepada individu yang berwibawa dalam bidang syair berdasarkan pengalaman dan pencapaian yang berterusan dalam melestarikan syair.

Ucapan penutup Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa kali ke-5 telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang. Pertandingan ini boleh ditonton secara langsung di laman rasmi Facebook Roslan Madun Rasmi dan pelantar YouTube DBP Malaysia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.