15 September 2022, 23:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
“Episod Khas” pada kali ini menampilkan Nur Zulaikha Faiezul sebagai hos bersama yang menemani hos tetap program, Hafiz Latiff.

Seremban – Persoalan daripada saudara Hafizul Faiz sebagai panel dalam “Episod Khas: Kolaborasi Booktube Malaysia dengan Himpunan Penulis Swaterbit” baru-baru ini mengetuk minda masyarakat, “Adakah kita mampu menjual apa-apa yang kita tulis?”

Penerbitan buku pada hari ini tidak lagi menjadi kerisauan utama penulis pada masa ini kerana mereka mampu menerbitkan buku sendiri tanpa proses yang panjang dan sukar seperti dahulu.

Namun begitu, keterujaan penulis dalam menerbitkan karya sendiri mengatasi hasil jualan buku tersebut bukanlah sebuah kejayaan hakiki terutama bagi seorang penulis swaterbit.

Beliau berkata dalam sesi bual bicara itu, “Kehendak untuk menerbitkan buku terlalu tinggi sampaikan ia mengatasi kehendak untuk menjual buku tersebut. Kebanggaan mempunyai buku mengatasi tanggungjawab untuk menjual buku tersebut.”

Beliau turut mengingatkan para penulis swaterbit supaya sentiasa memikirkan strategi untuk memastikan hasil karya mereka turut berjaya dijual, bukan semata-mata berjaya diterbitkan.

“Dalam keadaan kita hendak buku kita terbit, jangan sampai kita lupa untuk memikirkan strategi bagaimanakah buku kita boleh dijual di pasaran? Itu adalah satu premis yang perlu kita berikan penekanan yang sesungguhnya,” tambah beliau lagi.

Hal ini amat penting kerana penjualan buku sebenarnya merupakan ‘penjualan’ mesej yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembacanya di samping ‘menjual’ manfaat kepada mereka.

Jadi, kegagalan dalam pemasaran buku ini menunjukkan kegagalan dalam pengurusan dan tujuan sebenar menerbitkan sesebuah buku.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru kepada para penulis swaterbit untuk menghasilkan sebuah konten yang mampu menarik para pembaca supaya membeli buku yang diterbitkan oleh penulis tersebut.

Hafizul Faiz merupakan pengasas Pertubuhan Tentang Kita dan salah seorang panel yang akan memberikan ceramah dalam seminar Himpunan Penulis Swaterbit yang akan diadakan pada 24 September 2022 nanti.

“Episod Khas” pada kali ini menampilkan Nur Zulaikha Faiezul sebagai hos bersama yang menemani hos tetap program, Hafiz Latiff.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.