10 September 2022, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala  Lumpur – Deklamator muda wakil negeri Sarawak, Adzharye Johari (29 tahun) menunjukkan keterampilannya apabila berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang peserta akhir yang mara ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-36 Peringkat Kebangsaan Tahun 2022. Pertandingan yang menjadi acara tahunan ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selaku Pegawai Undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Adzharye telah memberikan saingan terhadap 16 orang peserta lain dari negeri dan jabatan terpilih sebagai pemenang sagu hati. Pemilik suara garau dengan pengawalan vokal dan penghayatan yang baik hasil daripada menyertai beberapa pertandingan puisi, pantun dan kumpulan teater sebelum ini, telah mendeklamasikan puisi berjudul “Ranah Pusaka Bertuah” karya Rohaidah Yon.

Menurut Adzharye yang ditemu bual ketika sayembara tersebut, penyertaan beliau dalam SDPK Kebangsaan 2022 selepas menjuarai peringkat negeri Sarawak adalah begitu bermakna kerana ini merupakan penyertaannya buat kali pertama. Beliau tidak menyangka dapat bertanding sepentas dengan peserta lain yang jauh lagi berpengalaman dan menganggap sayembara kali ini sebagai batu loncatan bagi dirinya memulakan usaha untuk memaju9kan diri dalam menempa nama dalam dalam arena seni deklamasi puisi di Malaysia.

Tambahnya lagi, sayembara ini bukan sekadar ruang untuk bertanding semata-mata, malah menjadi medium untuk membina perkenalan dan mengeratkan persahabatan antara peserta akhir dan peminat puisi dari seluruh Malaysia. Ujarnya, melalui sayembara peringkat akhir ini, beliau dapat berentap dengan Noorhisyam Razali iaitu juri yang selalu menghakiminya sewaktu di pertandingan pantun antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dahulu. Hadir sama menyokong Adzharye ialah rakan pemantunnya di IPT.

Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Setiausaha Politik mewakili Menteri Wilayah Persekutuan dalam Majlis Perasmian Penutupan SDPK 2022, YBhg. Datuk Mustapa Kamal bin Mohd Yusoff. Turut hadir ialah YBhg. Ketua Satu GAPENA, Datuk Hj Zainal Abidin Borhan, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Johari, dan Pengerusi SDPK 2022 yang juga merupakan Ketua Dua GAPENA, YBrs. Encik Amiruddin Md Ali Hanafiah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.