2 September 2022, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kehebatan vokal dan penghayatan bait-bait puisi oleh Sarjan Ardiansyah Wayang tidak dapat disangkal lagi apabila dinobatkan sebagai johan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-36 Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2022 yang telah diadakan di Dewan Ismail Hussein, Rumah GAPENA, Kuala Lumpur pada 26 Ogos 2022 yang lalu.

Sarjan Ardiansyah Wayang.

Sarjan Ardiansyah turut mencipta sejarah tersendiri dalam lembaran SDPK yang telah diperkenalkan sejak tahun 1987 apabila menjadi satu-satunya peserta yang berjaya merangkul johan empat kali berturut-turut dalam sayembara peringkat PDRM iaitu pada tahun 2019, 2020, 2021 dan 2022. Dengan mendeklamasikan puisi berjudul “Naratif Ogos Seorang Helang” nukilan Zainal Rashid Ahmad, beliau berjaya menambat hati para juri dengan persembahan yang bertenaga dan penuh bersemangat.

Sementara itu, Superintendan Zahari Abu Samah yang mendeklamasikan puisi berjudul “Milik Siapakah Tanah Ini” nukilan Mohd Ghazali Taib diumumkan sebagai naib johan, manakala, Sarjan Roseshini Kasim memenangi tempat ketiga dengan puisi berjudul “Citra Jiwa Merdeka” nukilan Abdul Karim Gulam.

Selain itu, Sarjan Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah (“Nada Bermadah Warga Bermaruah” karya Chu E Liang), Sarjan Mohammad Azhar Abdullah (“Lagu Pertiwi Nadi Bangsa” karya Raja Rajeswari) dan Sarjan Mejar Nik Noor Hayati Nik Lah (“Segugus Ingatan Rubaiyat Bangsa” karya Shamsudin Othman) memenangi hadiah sagu hati dalam sayembara tersebut.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000 berserta piala dan hadiah iringan.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000 berserta piala dan hadiah iringan. Naib johan dan pemenang tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500 berserta hadiah iringan. Bagi pemenang hadiah sagu hati pula masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200 berserta hadiah iringan. Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman,. Turut hadir dalam sayembara tersebut ialah Ketua Dua GAPENA, Amiruddin Md Ali Hanafiah.

“Saya amat berbesar hati dan bersyukur dengan kemenangan ini. Terima kasih kepada PDRM, GAPENA, GBBL, ahli keluarga dan sahabat yang setia memberikan sokongan kepada saya untuk terus berjuang dalam dunia puisi ini,” ujar Sarjan Ardiansyah seusai majlis penyampaian hadiah. Beliau yang berkhidmat di Sabah akan ke Kuala Lumpur sekali lagi bagi mewakili PDRM dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 9 September 2022 kelak.

Menurut Sarjan Ardinsyah, pentas sayembara ini bukan sekadar ruang untuk bertanding semata-mata, tetapi menjadi medium pengikat tali persahabatan dan kekeluargaan dalam diri peminat puisi dari seluruh Malaysia.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.