1 September 2022, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Episod Khas: Kolaborasi Booktube Malaysia dengan Himpunan Penulis Swaterbit” dalam episod kelima pada malam tadi membincangkan berkenaan pendanaan awam untuk menerbitkan buku dengan tajuk Peranan Pendanaan Buku kepada Penulis di Facebook rasmi Booktube Malaysia dan Himpunan Penulis Swaterbit.

Dr. Shahrul Ifwat selaku panel jemputan dalam program ini juga merupakan salah seorang panel yang akan bersama-sama dalam Seminar Himpunan Penulis Swaterbit yang akan berlangsung pada 24 September nanti.

Berkongsi tentang konsep pelantar DanaBuku, Dr. Shahrul sebagai pengasas pelantar ini menyatakan bahawa DanaBuku ialah sebuah entiti yang bermatlamat membantu penulis mengumpul dana bagi menerbitkan karya mereka secara kreatif, telus dan sistematik.

“Jika sebelum ini, kita cuma ada pembaca dan penulis, apa-apa yang kami ingin bawakan melalui komuniti ini ialah akan ada satu golongan lagi yang bertindak sebagai pendana,” jelas beliau lagi.

Dalam bicara ini juga, beliau turut berkongsi berkenaan idea penubuhan DanaBuku ini tercetus apabila melihat praktis pendanaan awam di luar negara, khususnya negara Barat amat meluas semasa beliau berpeluang melanjutkan pengajian di sana.

Tambahan lagi, beliau mengakui sebagai seorang penulis “biasa” yang kurang dikenali masyarakat umum, agak sukar untuk menerbitkan buku di rumah-rumah penerbitan. Oleh itu, beliau memulakan usaha ini dengan menggunakan dana geran penyelidikan yang ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan nama FundMyBook.

FundMyBook dijenamakan semula kepada DanaBuku selepas penyelidikan selama dua tahun yang dilaksanakan oleh Dr. Shahrul telah berjaya.

Mengulas lanjut tentang pendanaan awam bagi menerbitkan buku, Dr. Shahrul berkongsi lagi bahawa usaha ini adalah untuk menghargai jasa penulis dan membantu industri buku untuk terus hidup.

Beliau menjelaskan lagi bahawa dana buku bukan yang dijana bukan semata-mata untuk kos percetakan, malah untuk mendidik masyarakat supaya mendana bakat dan usaha penulis yang berani menceburkan diri dalam dunia yang berbeza dengan masyarakat lain iaitu dunia buku.

Mengakhiri bual bicara ini, beliau berpesan supaya penulis perlu berubah mengikut keadaan semasa supaya tidak ketinggalan dalam apa-apa jua keadaan. Beliau turut menyeru kepada para penulis untuk aktif dalam mempromosikan karya mereka dengan menjadikan dana buku lebih bermakna apabila masyarakat bersama-sama menghasilkan karya tersebut dengan pendanaan awam.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.