Oleh Hakim Bahaman
28 Ogos 2022, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Juara berpengalaman, Mohd Fazreen Mohd (39 tahun) bertekad menjulang Negeri Sembilan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan kelak. Beliau yang mendeklamasikan puisi berjudul “Tanggam Warisan” karya Shapiai Mohd Ramli telah memenangi tempat pertama pada peringkat negeri yang diadakan pada 27 Ogos 2022, di Inaraz Space, Seremban .

Fazreen Mohd menerima hadiah daripada Tuan Haji Hassan Alias, Pengarah DBP Wilayah Tengah.

Fazreen, mantan kru pagi Radio Negeri FM yang kini bertugas sebagai Penerbit Rancangan di Radio Klasik telah menewaskan 14 orang peserta dalam saingan yang begitu sengit. Memiliki latar belakang dalam bidang teater, beliau telah menyertai SDPK sejak tahun 2001. Mengikut rekod, hingga kini beliau telah menjadi juara Negeri Sembilan lebih daripada tiga kali iaitu pada tahun 2013, 2014, 2017 dan 2022.

Naib juara pula disandang oleh Muslim Ismail yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Jangan Gendang Bertingkah Lagi” karya Abd. Rani Embi. Sementara, tempat ketiga pula diraih oleh Fauziah Ismail yang mempersembahkan puisi “Jamung Merdeka” karya Razali Mohd Yussof.

Pemenang bergambar untuk kenang-kenangan.

Sayembara kali ini dianjurkan bersama-sama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Istimewanya kali ini, PEN telah mengambil inisiatif untuk melengkapkan senarai pemenang kepada 10 deklamator yang mencapai merit terbaik berbanding dengan hanya enam hadiah yang disediakan oleh pihak DBP dan GAPENA. Menurut Nisah Haron, Ketua Satu PEN, inisiatif ini sebagai ransangan kepada para deklamator di negeri ini untuk memberikan persembahan yang berkesan dan menyerlah. PEN percaya, lebih ramai yang dapat diraikan, adalah lebih baik untuk menyemarakkan semangat menjiwai puisi, terutama pada bulan kemerdekaan.

Para peserta bergambar bersama-sama Tuan Haji Hassan Alias, Pengarah DBP Wilayah Tengah, ahli panel hakim dan ahli jawatankuasa PEN.

Para peserta telah diadili oleh barisan juri berpengalaman yang diketuai oleh Zaen Kasturi (penerima anugerah SEA Write 2010), Nor Azah Abd. Aziz (Ketua Dua PEN dan Konsultan Penerbitan) dan Dr. Ani Omar (ahli jawatankuasa PEN dan ahli akademik). Hadiah telah disampaikan oleh Tuan Haji Hassan Alias, Pengarah DBP Wilayah Tengah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.