27 Ogos 2022, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada malam tadi disemarakkan dengan gema puisi yang dijalinkan dengan pelbagai tema Keluarga Malaysia yang diadakan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Usaha penganjuran Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 ini bukanlah semata-mata hanya untuk menunjukkan para penyair melontarkan pemikiran mereka kepada khalayak tetapi tentang bagaimanakah penciptaan dan deklamasi puisi menjadi alat memperkuatkan semangat cintakan negara. Suara merdeka serta semangat kebangsaan sememangnya perlu sentiasa disegarkan dan dikongsikan kepada masyarakat agar mereka tidak alpa bahawa tanggungjawab terhadap negara sentiasa subur dalam hati semua Keluarga Malaysia.

Menelusuri kehidupan dengan meraikan kepelbagaian, Keluarga Malaysia melihat perbezaan bukanlah halangan untuk saling menyebarkan kasih sayang dan berpadu semangat mendepani segala cabaran.

 

Heidi Ho Mun Yee.

Berpeluang turut terlibat dalam program Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia ini, Heidi Ho Mun Yee, pelajar jurusan Perakaunan Universiti Sunway Petaling Jaya, Selangor ini menyatakan kebanggaannya kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia kerana memperkenalkan formula Keluarga Malaysia. Menurutnya, lagu Puisi Keluarga Malaysia ciptaan Ayob Ibrahim yang dipersembahkannya bersama dengan sahabatnya Meshantini Ravi Shanka, pelajar jurusan Muzik ASWARA merupakan ungkapan serta dedikasi mereka yang mewakili generasi muda hari ini. Melalui lagu tersebut, mereka mahukan seluruh Keluarga Malaysia agar dapat hidup dalam harmoni serta akan memberikan masa hadapan yang cemerlang kepada generasi Keluarga Malaysia seterusnya.

Meshantini Ravi Shanka.

“Saya dan Heidi diberikan peluang bersama-sama memberikan idea dan sentuhan bait-bait Puisi Keluarga Malaysia ini. Bait puisi ini lahir daripada isi hati kami. Ini adalah hasrat kami. Kami berikan harapan yang tinggi agar kami diberikan peluang serta masa depan yang gemilang untuk berbakti kepada negara ini.” Kata-kata semangat oleh Meshantini Ravi Shanka turut disokong oleh trio ASWARA yang merupakan pelajar jurusan Muzik ASWARA yang berasa bertanggungjawab untuk menyampaikan suara hati mereka menerusi dedikasi puisi “Putera Lubuk Kawah”.

Shuaib Shahzaman Bakti Azlan, Vinton Jonah Low dan David Aleksander Lopez yang merupakan pelajar jurusan Muzik dari ASWARA turut membuat persembahan pada Malam Kemuncak Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022.

Bagi Shuaib Shahzaman Bakti Azlan, Vinton Jonah Low dan David Aleksander Lopez, seorang Perdana Menteri itu mesti dihormati dan diangkat tinggi perjuangannya. Sebagai generasi Keluarga Malaysia yang unggul, budaya menghormati pemimpin dan memahami perjuangan pemimpin perlu diterapkan dalam jiwa anak muda seperti mereka. Mendeklamasikan puisi yang dihasilkan oleh Bung Zaman iaitu abang kandung YAB Perdana Menteri telah membuatkan mereka berasa sebak kerana menerusi puisi ini mereka dapat berasakan betapa kuatnya ikatan kasih sayang kekeluargaan dalam ikatan kekeluargaan antara abang dengan adik.

Pada akhir wawancara, kesemua mereka mendoakan agar usaha memperbanyak lagi acara sedemikian dapat diadakan. Selain daripada dapat mencungkil bakat penulisan dan persembahan, deklamasi puisi turut berupaya meningkatkan keyakinan diri seseorang apabila berdepan dengan khalayak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.