26 Ogos 2022, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hasil penulisan di media sosial mampu memberikan impak positif dan negatif kepada masyarakat mengikut gaya penulisan seseorang individu.

Kuala Lumpur –  Menurut Pengurus Hamare Group, Puan Noor Syazana Abd Hamid, hantaran yang agresif di media sosial akan mengundang komen yang negatif dan agresif, manakala hantaran positif di media sosial pula akan memberikan kesan yang positif kepada pembacanya.

“Perkongsian daripada ahli kumpulan kami yang aktif di media sosial memberikan impak positif kepada masyarakat sehinggakan ada orang ingin berubah setelah menonton video yang dihasilkan dan ada orang yang ingin memeluk agama Islam kerana dia berkongsi tentang kebaikan,” ulas beliau ketika ditemu bual dalam “Episod Khas: Kolaborasi Booktube Malaysia dengan Himpunan Penulis Swaterbit” baru-baru ini.

Menjawab persoalan tentang kerelevanan penulisan di media sosial dengan kehadiran kekili di Instagram (Instragram reels) dan video TikTok, Noor Syazana menegaskan bahawa penulisan di media sosial masih relevan.

Hal ini kerana, asas bagi menghasilkan sebuah video adalah melalui penulisan terutamanya dari segi draf, idea ataupun skrip. Tambah beliau lagi, isi kandungan video yang tular juga, bukan sahaja kerana mengandungi suara atau wajah seseorang, malah kerana tulisannya.

Selain itu, beliau turut berkongsi dua cara untuk mengenal pasti penulisan yang menarik minat pembaca iaitu dengan melihat jumlah pembaca tulisan tersebut dan melihat jumlah individu yang memberi maklum balas terhadap penulisan tersebut.

Mengakhiri bual bicara dalam “Episod Khas” kali ini, beliau berpesan supaya melaksanakan sesuatu berdasarkan keselesaan sendiri, bukan atas suruhan atau pendapat orang lain. Hal ini kerana, setiap individu memiliki kekuatan yang berbeza. Beliau juga menasihati agar memilih tema atau topik yang diminati untuk ditonjolkan dalam media sosial masing-masing serta istiqamah dengan jalan yang dipilih.

Noor Syazana merupakan salah seorang pembicara dalam seminar Himpunan Penulis Swaterbit yang akan diadakan pada 24 September 2022 nanti. Hadiah cabutan bertuah dalam sesi bual bicara kali ini ialah antalogi cerpen terkini terbitan Hamare Group yang berjudul Kematian yang Dicemburui.

Terdahulu, pemenang bagi cabutan bertuah minggu lalu ialah saudari Sri A’jilah Mohd Samsir yang akan menerima sebuah buku berjudul Seni Berfikir Kreatif untuk Bisnes dan Hidup. Hasil kolaborasi Ainon Mohd dan Zamri Mohamad.

Episod Khas: Mengurus Penulisan di Media Sosial menampilkan Hafiz Latiff sebagai hos, Alya Sorfina sebagai hos bersama dan Noor Syazana sebagai panel jemputan yang merupakan Pengarah Urusan Hamare Group.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.