19 Ogos 2022, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program  Cakna Bahasa di Radio Bernama yang menampilkan Puan Nurul Julia Alani Henry yang merupakan Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, DBP.

Kuala Lumpur – Karya sastera dengan tema patriotik yang pernah menjadi salah satu bahan untuk menaikkan semangat nasionalisme untuk mencapai kemerdekaan negara pada satu masa dahulu, kini menjadi penulisan bermusim.

“Pada ketika ini, penghasilan karya yang bertemakan patriotik sudah perlahan, namun karya ini akan keluar semula apabila sayembara diadakan,” kata Ketua Editor Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Nurul Julia Alani Henry ketika ditemu bual dalam program Cakna Bahasa di Radio Bernama semalam.

Mengulas lanjut berkenaan hal itu, beliau menjelaskan bahawa penulisan karya bertemakan semangat kebangsaan ini merupakan karya yang bermusim apabila para penulis hanya akan menghantar karya mereka seperti cerpen untuk dimuatkan dalam ruangan akhbar atau majalah bersempena bulan kemerdekaan ketika ini.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa penulisan sastera genre patriotik dalam bentuk novel pula lebih perlahan. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau mendapati penulis generasi muda pada hari ini lebih cenderung menulis novel yang bersifat realisme, sains dan futuristik. Walau bagaimanapun, novel bertemakan semangat kebangsaan ini, juga dapat direalisasikan apabila pertandingan dianjurkan.

Oleh itu, bersempena bulan kemerdekaan pada tahun ini, DBP mengorak langkah optimis bagi menarik penulis muda untuk menulis novel bertemakan sejarah dan patriotik dengan menganjurkan Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2022/2023, khusus buat remaja berusia 13 hingga 21 tahun.

Dalam bual bicara ini, Puan Nurul Julia menjelaskan bahawa karya sastera yang bertemakan semangat patriotik bukan sahaja bertumpu kepada novel, cerpen dan puisi semata-mata, malah sebahagian besar artikel semua majalah terbitan DBP keluaran Ogos 2022 berkisarkan kemerdekaan dan semangat patriotisme.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.