18 Ogos 2022, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berdasarkan laporan daripada United Press International, seorang kanak-kanak dari Arab Saudi telah menerima pengiktirafan Guinness World Records apabila disahkan sebagai penulis termuda di dunia. Penulis muda tersebut, Ritaj Hussain Al-Hazmi menerima pengiktirafan yang membanggakan dirinya itu pada tahun 2020 semasa berusia 13 tahun. Kejayaannya menerbitkan tiga novel pada usia yang muda membolehkan Ritaj meraih pengiktirafan peringkat antarabangsa itu.

Judul novel hasil nukilan Ritaj.

Ritaj menerbitkan novel pertamanya, Treasure of the Lost Sea pada tahun 2019, disusuli dengan novel kedua bertajuk Portal of the Hidden World juga diterbitkan pada tahun yang sama. Novel ketiganya bertajuk Beyond the Future World diterbitkan pada tahun 2020 dan novel keempat, The Passage to the Unknown pula sedang dalam proses penulisan dan bakal terbit.

Pada ketika ini saya sedang menyiapkan novel fiksyen bersifat ilmiah bertajuk “The Day Before 2050”. Jalan ceritanya tentang perubahan iklim dunia yang menimbulkan kemudaratan terhadap kehidupan manusia dan haiwan.

Ritaj semasa diwawancara oleh media di Arab Saudi.

Ritaj mula menulis, khususnya cerpen sejak berusia enam tahun. Dalam proses penulisannya, kebiasaannya Ritaj akan menumpu selama satu tahun untuk menulis buku, tetapi bergantung jenis bukunya. Ritaj yang kini berusia 14 tahun berkata, dia berhasrat untuk menghasilkan segmen khusus untuk pembaca golongan muda menerusi penulisan kreatif.

Saya menulis untuk komuniti kanak-kanak dalam lingkungan saya. Saya menyedari tidak banyak novel dihasilkan untuk kumpulan umur ini, jadi saya memutuskan untuk menerbitkan beberapa buah buku saya sendiri

“Menjadi pemegang Guinness World Records ialah pencapaian besar yang ingin saya kongsi dengan penulis muda. Saya berharap kejayaan ini dapat memberikan motivasi dan mendorong penulis muda untuk menyahut cabaran dan menghadapi apa-apa halangan yang mahu dicapainya dalam hidup, terutama dalam menempuh perjalanannya sebagai penulis,” kata Ritaj semasa ditemu bual oleh pihak Guinness World Records.

Menceritakan gaya dan cara dia menghasilkan novel, Ritaj mendedahkan penulisannya adalah berpandukan metode antarabangsa yang paling terkenal, iaitu Save The Cat Methode. Melalui metode tersebut, Ritaj membahagikan komposisi novelnya berdasarkan isi cerita utama. Selain itu, penggunaan aplikasi elektronik turut membantunya mengatur idea, seterusnya mengarang idea tersebut mengikut urutan peristiwa yang logik.

Ritaj lahir di kota Dhahran di Provinsi Timur Arab Saudi, fasih berbahasa Arab dan Inggeris, dan mengakui dia mendapat inspirasi untuk mengarang novel daripada penulis terkenal, JK Rowling dan Joanne Rendell. Ritaj mula mengenali bahan bacaan fiksyen fantasi dan terinspirasi untuk menjadi penulis pada tahun 2016 setelah ayahnya membawanya ke kedai buku. Saat itu, Ritaj memasang angan-angan mahu melihat buku hasil tulisannya sendiri diletakkan di rak kedai buku sederet dengan buku karya nama besar dunia.

Melihat minatnya terhadap karya fiksyen, ayahnya, Hussain Al-Hazmi membawa Ritaj menghadiri kursus untuk mempelajari penulisan fiksyen. Setelah mengikuti kursus “Penguasaan Menulis” yang diajarkan oleh Jessica Brody, Ritaj mula menulis berdasarkan apa yang dipelajarinya, bermula dengan penetapan tajuk, menstrukturkan idea hinggalah terhasilnya draf novel. Setelah mengetahui Save the Cat Methode, Ritaj memanfaatkan panduan yang tersedia dalam metode tersebut. Ritaj biasanya akan merencanakan judul buku sebelum memulakan penulisannya, namun tajuk itu akan berubah beberapa kali dalam tempoh dia menyiapkan penulisan novel.

Guinness World Recods yang mengiktiraf Ritaj sebagai penulis paling muda di dunia.

“Mendapatkan pengiktirafan daripada Guinness World Records ialah penghargaan terpenting yang dia terima, dan saya cukup gembira kerana Ritaj telah mencapai impiannya,” demikian kata ayahnya, Hussain Al-Hazmi yang berkongsi kegembiraan dan berasa bangga dengan kejayaan anaknya dalam usia yang masih muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.