16 Ogos 2022, 08:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama-sama  Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Nuha Books menganjurkan Bengkel Deklamasi Puisi PENA 2022 di Rumah PENA baru-baru ini. Program yang dihadiri kira-kira 20 orang peserta itu dibimbing oleh penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) tahun 2000, iaitu Dr. Lim Swee Tin.

Dr. Lim Swee Tin.

Selama hampir tiga jam, Dr. Lim yang juga penyair dan deklamator puisi terkenal tanah air telah berkongsi ilmu dan pengalaman beliau kepada para peserta bengkel tersebut. Bagi menilai tahap pemahaman peserta bengkel, sebanyak dua orang daripada mereka diminta mendeklamasikan sebuah sajak. Dua orang peserta tersebut ialah Mohd. Shamier Mohd. Shakir dari Alor Gajah, Melaka dan Siti Aisyah Mat Saad dari Sabah yang mendeklamasikan sajak bertajuk “Akankah Mereka ke Sana” daripada kumpulan sajak patriotisme, Cakerawala Kemerdekaan, karya Dr. Lim Swee Tin.

Selain memberikan pendedahan berkaitan dengan pendeklamasian umum, beliau turut memberikan penerangan dalam slot khusus berdasarkan penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) yang diadakan pada setiap tahun, anjuran GAPENA.

Menurut beliau, setiap peserta harus menyediakan lebih daripada satu sajak, iaitu sajak utama harus bertepatan dengan tema, manakala sajak tambahan disediakan sekiranya diperlukan. Selain itu, beliau turut berkata sekiranya diberikan bayaran, maka peserta harus menepati permintaan pihak tersebut.

Tambahnya, aspek teknikal harus diambil perhatian seperti kedudukan pentas dan mikrofon harus berada dalam keadaan baik. Selain itu, Dr. Lim turut mengingatkan tentang menjaga personaliti ketika berada di atas pentas agar sentiasa kelihatan dalam keadaan meyakinkan dan tertib serta jangan menunjukkan kelemahan ketika berada di atas pentas.

Antara pendeklamator pemula yang menyertai bengkel. Dari kiri; Nurulmuna Mohd. Ghozali, Siti Nurain Farahiyah Sallehuddin, Mohd. Shamier Mohd. Shakir, Muhammad Saufee Noor Asikin, dan Muhammad Wan Faizal Che Juhari bersama-sama Dr. Lim Swee Tin (tengah).

Yang menariknya, bengkel tersebut turut mendapat perhatian dalam kalangan pendeklamator pemula seperti Nurulmuna Mohd. Ghozali, Siti Nurain Farahiyah Sallehuddin, Muhammad Saufee Noor Asikin, Muhammad Wan Faizal Che Juhari dan Mohd. Shamier. Turut hadir ialah Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad serta ahli jawatankuasa kerja bengkel, iaitu Zaifulnizam Hj. Wagiran, dan Mohamad Fairul Rashid (Fairul Pujangga), serta Dr. Norhayatie Abd. Rahman dan Mohamed Nasser Mohamed. Peserta Bengkel Deklamasi Puisi PENA 2022 turut menerima hadiah buku daripada Nuha Books.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.