Oleh Noor Sham Sabtu
29 Julai 2022, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama SMK Seri Tanjong berjaya menghasilkan 10 kertas cadangan skrip drama dalam penganjuran Bengkel Penulisan Skrip Drama Televisyen pada 27 Julai 2022, yang bertempat di SMK Seri Tanjong. Bengkel yang dihadiri oleh 33 orang peserta merupakan ahli Kelab Audio Visual dan pelajar Kesusasteraan Melayu Komunikatif bagi Program Persediaan Universiti. Bengkel ini.

Peserta Bengkel Penulisan Skrip Drama Televisyen yang diadakan di SMK Seri Tanjong.

Bengkel yang bermatlamat melahirkan penulis skrip drama televisyen yang kreatif dan berkualiti dari segi penghasilan idea dan penulisan skrip ini dibimbing sepenuhnya oleh Puan Rohani Deraman yang merupakan penulis skrip drama televisyen yang prolifik. Sepanjang bengkel tersebut berlangsung, peserta didedahkan dengan kaedah dan format yang tepat dalam proses menghasilkan skrip drama yang bermula dengan pembinaan kertas cadangan skrip sehinggalah drama ditayangkan di kaca televisyen. Beliau juga turut berkongsi panduan dan tip berguna dalam memberikan keyakinan kepada pihak panel penilai skrip drama di stesen televisyen, selain penataran tentang penghasilan skrip drama yang mempunyai nilai komersial dan menepati kehendak stesen televisyen.

Rohani Deraman.

Bagi Rohani Deraman, bengkel anjuran DBPWS ini merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu dalam industri seni kreatif yang mendapat perhatian semula oleh pihak kerajaan dan stesen televisyen setelah dua tahun tergendala kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Melalui penulisan kreatif ini juga, peserta didedahkan dengan kadar upah skrip drama televisyen yang lebih lumayan berbanding dengan genre penulisan lain sebagai galakan dan motivasi kepada peserta untuk komited menulis.

Peserta yang berjaya membentangkan sinopsis pada sesi latihan amali akan diberi bimbingan berterusan selepas bengkel sehingga berjaya menulis skrip drama yang lengkap. Dengan cara ini diharap peserta boleh menulis dengan lebih baik dan melepasi penilaian kertas cadangan dan pembentangan idea di stesen televisyen.

Menurut pengurus projek bengkel tersebut iaitu Azura Mohd. Halid, peserta yang berminat dan berpotensi akan diperkenalkan dengan syarikat produksi televisyen sebagai langkah lanjutan untuk menjadi penulis skrip. Sebagai penulis, mereka bertanggungjawab untuk menjaga kualiti skrip drama sebagai didikan kepada penonton dengan elemen nilai murni dan pengajaran dalam setiap skrip yang dihasilkan.

Wan Nur Anis Nabila merupakan peserta terbaik dalam bengkel tersebut.

Penulis juga diingatkan agar lebih peka terhadap isu semasa, keadaan sekeliling dan memperbanyak bacaan supaya lebih mudah membina idea untuk dijadikan drama. Pada peringkat awal, penulis skrip berkemungkinan akan melalui laluan sukar untuk mendapat kepercayaan syarikat produksi, namun dengan kesungguhan dan sikap yang tidak berputus asa penulis akan menjadi penulis yang dicari-cari oleh pihak produksi.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.