16 Julai 2022, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 23 orang pelajar Akademi Syair Nusantara diraikan bersempena dengan Majlis Graduasi Adiguru Syair Cendana. Bertempat di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), majlis anjuran Persatuan Bitara Syair Nusantara (BITARA) ini telah diadakan pada 15 Julai 2022. Majlis ini telah mendapat kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Cultural Economy Development Agency (CENDANA), Pakej Rancangan Kreatif Industri Malaysia (PRISMA) dan MyCreative Ventures. Turut menjayakan majlis tersebut ialah Sara Success dan fotolawa.

Dr. Shafa’atussara Silahudin.

Akademi Syair Nusantara ini mula ditubuhkan pada pertengahan tahun 2021 oleh Adiguru, Tuan Roslan Madun dan dikelola oleh Puan Pengetua, Dr. Shafa’atussara Silahudin. Sebanyak 8 orang mentor yang telah diiktiraf sebagai Penyair Negara dilantik untuk membimbing para pelajar secara berkumpulan iaitu Nur Nabihah Mohd Shukeri, Zafirah Bahiah Hassan, Galuh Cendra Kirana, Shaidatul Nadirah Shaharum, Norliza Md Yamin, Rusmawani Ishak, Nur Ameera Nabila Azmi, dan Nur Amelyana Kamaruzaman.

Bagi pengambilan pertama sesi Julai hingga Disember 2021 ini, sebanyak 60 permohonan telah diterima dan hanya 23 orang pelajar telah terpilih untuk menyertai akademi ini berdasarkan penilaian dan temu duga. Kuliah diadakan selama satu jam pada setiap hari Sabtu dan Ahad secara dalam talian yang membimbing para pelajar untuk mendendangkan 10 jenis irama syair dan mengarang teks syair. Sijil tauliah diberikan setelah pelajar lulus ujian akhir penguasaan irama melalui penilaian video dendangan syair masing-masing.

Majlis Graduasi Adiguru Syair Cendana ini turut dihadiri tetamu kehormat seperti Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), YBrs. Tuan Haji Mesran bin Mohd Yusop, Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), YBhg. Datuk Dr. Radzuan Ibrahim, Pengarah JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Puan Hidayatul ‘Ein binti Mohamad Azmi dan tetamu jemputan yang lain.

Sebagai majlis pembukaan, Dr. Shafa’atussara Silahudin selaku Pengetua Akademi Syair Nusantara mendendangkan “Syair Buka Gelanggang” dalam irama Sarawak. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan teraju utama akademi, iaitu Adiguru Tuan Roslan Madun. Sebagai teraju utama akademi tersebut, beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar akademi agar terus memartabatkan syair Melayu dan jadikan usaha tersebut sebagai dakwah yang berterusan.

Pengerus Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika merasmikan Majlis Graduasi Adiguru Syair Cendana. (Kredit foto: Hamzah Awang)

Selanjutnya, majlis telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut berkata bahawa puisi seharusnya menjadi medan eksklusif dan harus diluaskan khalayaknya. Hal ini dikatakan demikian kerana puisi yang akan memanusiakan manusia tersebut. Sebagai pembakar semangat kepada pelajar akademi tersebut, beliau turut mendeklamasikan sajak yang bertajuk “Penyair”, iaitu sebuah sajak perjuangan yang dinukilkan khas buat penyair muda.  Dalam majlis yang sama juga, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan turut melancarkan buku terbaharu nukilan Adiguru Tuan Roslan Madun, iaitu Syair Lirik dan DVD Adiguru Syair Dendangan Syair Pelajar yang turut memuatkan karya syair tulisan mereka.

Buku terbaharu nukilan Adiguru Tuan Roslan Madun, iaitu Syair Lirik dan DVD Adiguru Syair Dendangan Syair Pelajar dirasmikan pada malam tadi.

Memasuki acara kemuncak, sebanyak 13 orang pelajar yang hadir ke majlis graduasi iaitu Abdul Razzuhair Abd Razak, Ahmad Asyrafi Aling, Arinawati Amir, Mohd Fishon Shuaib, Muhammad Affan Mohd Yunus, Muhammad Haziq Nasrullah Muhd Nizam, Muhammad Rafiq Amir, Munirah Mazlan, Nik Nur Syamimi Ramli, Roslah Rani, Suraini Ibrahim, Syahmi Aiman Zainal Azman dan Zaheera Ibrahim telah diberikan sijil tauliah.

Turut ditauliahkan daripada Akademi Syair Nusantara ini ialah Mariani Abdullah, Mohd Sharif Taip, Mohd Shukri Mohd Isa, Nur Nasyirah Hanis Abd Rahman, Nurul Ain Razali, Syed Abdul Razak Syed Radzi dan Yusnorsyazana Mohd Yunos.

Bagi menyerikan majlis, Mentor Nur Amelyana Kamaruzaman telah mempersembahkan “Syair Hidup Ibarat Lebah” dalam irama Dandan Setia. Seterusnya, Mentor Shaidatul Nadirah Shaharum telah mendendangkan “Syair Anak Budiman” dalam irama Perantau. Bagi melabuhkan tirai majlis, wakil pelajar akademi turut dijemput membuat persembahan. Trio pelajar perempuan yang terdiri daripada Zaheera Ibrahim, Arinawati Amir dan Munirah Mazlan telah menyampaikan “Syair Anak Zaman Sekarang” dalam irama Tok Kenali. Manakala, trio pelajar lelaki yang diwakili oleh Muhammad Affan, Muhammad Haziq Nasrullah dan Ahmad Asyrafi telah mendendangkan “Syair Kisah Benawi” dalam irama Batu Belah.

Pelajar Akademi Syair Nusantara yang turut membuat persembahan pada malam tadi.

Demikianlah majlis graduasi yang mengangkat bakat para pelajar. Diharapkan agar tauliah yang telah dianugerahkan dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk melestarikan pergerakan syair dan menarik lebih banyak lapisan masyarakat untuk menghargai dan membudayakan syair melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.