4 Mac 2022, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Walaupun dunia pembukuan tanah air terkesan dengan situasi pandemik yang melanda di seluruh dunia, namun situasi tersebut tidak melunturkan semangat syarikat penerbitan Penwings untuk menghasilkan buku yang terbaik, terutamanya dalam bidang penulisan kreatif. Hal ini dapat dilihat apabila syarikat penerbitan buku yang dikendalikan oleh Charissa Ong ini berjaya menghasilkan empat buah buku terlaris dalam pasaran, termasuklah buku Poetry and Short Stories – A Practice Books.

Bukan sekadar berjaya menghasilkan buku terlaris dalam pasaran, namun Charissa turut berjaya memenangi kategori kulit buku terbaik bagi 2022 International Impact Book Awards melalui buku Poetry and Short Stories – A Practice Books yang diumumkan baru-baru ini. Anugerah tersebut merupakan anugerah yang dibuka sepanjang tahun bagi meraikan penulis dan syarikat penerbitan dari segi kualiti penulisan dan penerbitan sesebuah buku tersebut.

 

Kejayaan yang diperoleh oleh Charissa dan syarikat penerbitannya telah membuktikan walaupun seseorang penulis itu tidak mempunyai latar belakang dalam penulisan, namun dengan azam dan sifat keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu, maka penulis itu akan mampu menghasilkan sesuatu yang berkualiti dan sekali gus mampu menempa nama pada peringkat antarabangsa.

Menurut Charissa ketika diwawancara oleh sidang editor e-Tunas Cipta, kulit buku tersebut merupakan hasil ilham daripada beliau sendiri yang ingin menerapkan elemen malar segar dalam buku beliau. Tambahnya, konsep tersebut penting untuk memastikan buku yang dihasilkan dapat diterima oleh pelbagai lapisan khalayak pembaca. Selain daripada kulit buku yang malar segar, buku Poetry and Short Stories – A Practice Books juga unik kerana berbentuk panduan yang dapat membantu pembaca, terutamanya penulis pemula untuk menghasilkan karya berdasarkan panduan yang diberikan. “Saya berasa teruja apabila terdapat pembaca yang berjaya mengikuti setiap panduan yang saya berikan dalam buku tersebut,” ujar Charissa.

Sebanyak 80 kategori yang telah dipertandingkan dan antaranya ialah kategori reka kulit buku terbaik, reka letak dalaman buku, buku bersiri, sejarah, falsafah, kekeluargaan, keusahawanan, puisi, sejarah, biografi, kewangan dan psikologi. Setiap permohonan boleh dikemukakan melalui penghantaran borang secara dalam talian yang dibuka sepanjang tahun.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.