24 Februari 2022, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Syahida Hassan Enterprise (SHE) telah menyertai Hari Pemberian Buku Sedunia yang disambut pada setiap 14 Februari bagi setiap tahun dan penyertaan pada tahun ini merupakan penyertaan kali kedua SHE untuk meraikan hari istimewa ini. Bagi pencinta buku, tarikh 14 Februari merupakan hari yang istimewa untuk meraikan kecintaan terhadap buku dan berkongsi buku dengan insan yang tersayang. SHE telah menganjurkan program pemberian buku dengan kerjasama Kota Buku Bangi dan Persatuan Alumni Censerve UIA.

Terdahulu, Hari Pemberian Buku Sedunia diisytiharkan pada tahun 2013 di United Kingdom. Idea ini tercetus pada tahun 2012 apabila Amy Broadmoore dan anak lelakinya sedar tentang kanak-kanak yang memerlukan buku, tetapi mereka tidak mampu untuk memiliki buku sendiri. Melalui idea ini, mereka bekerjasama dengan Zoe Toft yang membantu untuk mengadakan satu acara serta mengembangkan idea tersebut sebagai inisiatif yang terbaik. Inisiatif Hari Pemberian Buku ini meletakkan usaha sukarela sepenuhnya daripada semua pihak untuk menjayakan misi memberikan buku kepada semua kanak-kanak agar mereka dapat memiliki buku dan mencintai buku.

Idea ini turut mendapat penyertaan lebih daripada 44 buah negara dari seluruh dunia yang meraikannya. Menggunakan konsep memberi tanpa paksaan, acara ini dilihat sangat baik untuk diraikan tanpa mengira bangsa dan jurang pendidikan. Oleh itu, pada 12 Februari 2022, SHE telah memberikan 10 buah buku kepada peniaga di sekitar Kota Buku Bangi dalam program Buru Buku. Kemudian, pada 13 Februari 2022, SHE telah menyumbang 20 buah buku kepada wakil Persatuan Alumni Censerve UIA yang akan meletakkan buku di Akar Budi Centre, iaitu sebuah pusat kegiatan komuniti dan asnaf di Gombak.

Selain itu, bermula dari 11 Februari hingga 14 Februari 2022 SHE telah melancarkan kempen pemberian buku percuma kepada pengikut bertuah. Dua orang pengikut bertuah telah berjaya memiliki buku terkini terbitan SHE iaitu Antologi Anekdot: Pesan Moyang yang Tersurat yang Tersirat.

Program Hari Pemberian Buku Sedunia ini seharusnya diraikan pada peringkat kebangsaan dan dijadikan sebagai acara tahunan untuk membugarkan kecintaan terhadap buku dan ilmu. Selain itu, program ini juga dapat menjalin hubungan yang baik antara penulis dan pembaca serta mampu memberikan manfaat kepada semua penerimanya.  Semoga aktiviti seperti ini disertai lebih ramai pihak.

Antara aktiviti pemberian buku yang dianjurkan oleh SHE kepada pencinta buku.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.