11 Februari 2022, 11:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BookTube menjadi satu-satunya saluran yang menghimpunkan sekumpulan penggiat yang menggemari perkara yang sama, iaitu membaca dan mengumpul buku, seterusnya berkongsi buku yang dibaca kepada khalayak.

Perkongsian itu dipertontonkan melalui saluran digital paling popular abad ini, iaitu YouTube. Ringkasnya, BookTube diwujudkan dan kandungannya dicipta sebagai usaha mengetengahkan karya penulis dan penerbit tempatan ke persada dunia.

BookTube Malaysia yang digerakkan oleh Persatuan BookTube Malaysia (PBM) dan diterajui oleh Hafiz Latiff selaku Presiden dan Timbalan Presiden, Aman Wan kini sudah mempunyai 60 penggiat BookTube atau lebih dikenali sebagai BookTuber.

Daripada jumlah tersebut, ada antara mereka yang berjaya menarik jutaan penonton untuk menjadi pengikut saluran YouTube masing-masing selaku penggiat BookTube.

Melihat kandungan yang direka oleh penggiat BookTube itu, kebanyakannya berkongsi cerita tentang buku fiksyen atau buku sastera, termasuklah buku fiksyen karya penulis luar negara. Buku yang dipilih untuk dijadikan kandungan dalam medium digital pula bukan sahaja yang ditulis dalam bahasa Melayu, malahan melibatkan buku dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris.

Hal ini terbukti apabila diumumkan aktiviti terkini BookTube Malaysia yang bakal berlangsung secara maya melalui Zoom pada 11 Februari 2022, pukul 8.30 malam ialah episod kedua “Buku Sorotan” yang akan dikendalikan oleh Alya Sorfina atau nama penggiat BookTubenya, gadisbaca dengan buku pilihannya, The Sword of Kaigen: A Theonite War Story karya M.L. Wang.

 

Sumber: FB Hafiz Latiff

Berkaitan dengan penggiat BookTube di Malaysia, ada yang usia penglibatannya sudah menjangkau lebih daripada lima tahun. Namun begitu, sebahagian besar penggiat BookTube itu masih baru memulakan langkah di pentas BookTube. Sebagai usaha untuk menarik lebih banyak anak muda khususnya untuk menjadi penggiat BookTube, program “Langkah Mula Menjadi BookTuber” telah diadakan secara maya di Twitter Space pada 28 Januari 2022, pukul 9.00 malam.

Program yang cukup baik untuk disertai oleh mereka yang berminat sebagai penggiat BookTube ini menampilkan Presiden PBM, Hafiz Latiff selaku moderator, yang menemu bual dua orang penggiat BookTube popular, iaitu Alya Sorfina dan Norsamila Samsuddin.

Program yang berlangsung hampir dua jam ini merungkaikan beberapa persoalan yang diajukan kepada penggiat BookTube jemputan, iaitu:

  1. Apakah yang menjadi pencetus kepada mereka untuk memulakan langkah sebagai penggiat BookTube?
  2. Apa yang perlu dibuat oleh seorang penggiat BookTube ketika menghasilkan kandungan BookTube masing-masing untuk dipertontonkan melalui YouTube?
  3. Apakah peralatan dan kemahiran yang diperlukan oleh penggiat BookTube?
  4. Menjadi penggiat BookTube kerana cita-cita, kerjaya atau sekadar suka-suka?

Menyorot beberapa saluran YouTube milik penggiat BookTube, beberapa saluran itu mempunyai jutaan pengikut atau subscriber. Penggiat BookTube yang banyak pengikut, antaranya termasuklah Aman Wan (21.4 juta pengikut), Biblio Mom (7.18 juta pengikut), Bajet Best (4.38 juta pengikut), Shah Rubio (2.38 juta pengikut), Husna Read (2.6 juta pengikut), Iman Danial Hakim (1.68 juta pengikut) dan Book Surgeon (1.68 juta pengikut).

Penggiat BookTube Solleh Daim mengutamakan bahan bacaan bukan fiksyen dalam genre pengetahuan umum dalam saluran YouTubenya.

 

Tema dan gaya persembahan buku yang menjadi inti kandungan dan disajikan oleh penggiat BookTube dalam saluran YouTube masing-masing juga pelbagai. Ada yang memilih untuk membicarakan dan mempromosikan buku kanak-kanak, komik, buku motivasi, buku kembara, buku bersifat pendidikan, buku agama, dan yang paling banyak ialah buku fiksyen pelbagai genre seperti seram, percintaan, fantasi, penyiasatan dan fiksyen sains.

Ada juga penggiat BookTube yang mencabar dirinya dengan mempersembahkan kandungan menggunakan buku ilmiah, buku falsafah dan hikayat lama. Namun demikian, walau apa-apa pun kandungan dan gaya persembahannya dalam saluran YouTube masing-masing, penggiat BookTube telah mewujudkan sebuah komuniti sebagai kumpulan sokongan dalam usaha mengetengahkan karya penulis dan penerbit tempatan ke persada dunia.

Sebagai membuka aktiviti tahun 2022, BookTube Malaysia telah mengundang Aishah Humaira’ dan Baiduri Mrosli yang membincangkan topik “Baca Ikut Sendiri atau Ikut Orang?”. Program “Buku Sorotan” episod pertama pula mengetengahkan Eiffelynne dengan buku pilihannya, Nirnama karya Hilal Asyraf. “Acah Borak” juga ditampilkan untuk mengisi jadual rancangan Booktube Malaysia bagi Januari tahun ini.

Jika ada pihak yang berhasrat untuk mengadakan kolaborasi dengan BookTube Malaysia, boleh menyalurkan apa-apa juga perancangan aktviti ke alamat e-mel [email protected]. Sebarang aktiviti anjuran BookTube Malaysia yang digerakkan oleh penggiat BookTube pula boleh diikuti melalui laman media sosial Facebook, Instgram dan Twitter, termasuk di laman booktubemy.com.

Sememangnya diakui bahawa ada pembaca yang ingin mengetahui tentang sesebuah buku melalui perkongsian rakan pembaca yang lain. Malahan, melalui perkongsian tersebut telah menghadirkan minat untuk individu itu membaca buku yang telah dibicarakan atau dikongsi oleh penggiat BookTube. Kesan seperti inilah yang menjadikan kewujudan BookTube dan penggiat BookTube begitu signifikan dalam menyuburkan amalan membaca dan meminati buku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.