9 Februari 2022, 21:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mengamati tanggungjawab penulis dan pengarang dalam berkarya, lebih-lebih lagi pengarang generasi kini, mereka acap kali diagah untuk terus mengejar pembaharuan dan memecah sempadan kreativiti. Antara kajian dalam teks sastera adalah penciptaan teori sastera tempatan dan antara kepentingan teori sastera tempatan ini adalah untuk menguatkan prinsip pengkaji sastera, pengkritik malah pengarang itu sendiri.

“Teori dalam kajian sastera dicipta berdasarkan kriteria dan nilai yang diturunkan melalui teks-teks tempatan sendiri. Maknanya teori-teori tempatan yang dicipta itu berdasarkan etos, budaya dan roh bangsa Melayu sendiri,” ujar Mana Sikana dalam Kuliah Penyelidikan Sastera (KUPAS) anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada pagi tadi. Mana Sikana atau nama sebenarnya Dr. Abdul Rahman  Napiah dijemput sebagai panel KUPAS siri ke-3 minggu ini bagi membicarakan tajuk pembentangan “Kepentingan Teori dalam Kajian Sastera”.

Apabila ditanyakan pandangan beliau terhadap masa depan ilmu teori tempatan dalam kajian sastera, beliau berpendapat bahawa teori sastera akan terus mendapat tempat dalam gagasan ilmu ini. Malah beliau melihat pada hari ini juga, teori sastera tempatan memang menjadi kegunaan para pengkaji dan pengkritik pada peringkat sarjana, esei-esei mahupun teks kritikan sastera di akhbar.

“Saya berpendapat bahawa mereka yang berada pada generasi kini dan generasi hadapan akan terus menghidupkan teori sastera tempatan kita yang akan sentiasa berkembang,” tambah beliau. Ditambah dengan pengalaman beliau berkhidmat selama separuh dekad di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), beliau melihat bahawa pelajar berjaya menulis kertas kajian dengan menggunakan teori tempatan yang dilihat mantap dan kuat.

Teori sastera tempatan akan terus mendapat tempat pada masa hadapan kerana beliau melihat penggiat sastera muda pada hari ini semakin menampakkan jalur mereka sebagai bakal karyawan ulung kelak.

Teori dalam sastera sememangnya memainkan peranannya yang tersendiri, dan peranan itu adalah sangat penting untuk memajukan sastera sebagai gagasan ilmu dan pemikiran. Contohnya dalam kegiatan kritikan sastera, penggunaan teori adalah wajib dan perlu. Berlainan dengan apresiasi, resensi, resepsi dan ulasan, kesemua ini tidak perlu diaplikasikan teori sastera. Kritikan disifatkan Mana Sikana sebagai bersifat saintifik – iaitu yang boleh diuji dan dimantapkan keberadaan dan kedudukannya.

Dalam pengajaran teori dalam kajian sastera, bagi menerangkan kepada pendengar kuliah berkenaan siapakah dan bagaimanakah mereka dapat mendalami teori sastera tempatan, Mana Sikana berpendapat metodologi pembelajarannya bergantung pada tingkatan pendidikan pelajar itu sendiri.

“Bagi pelajar di bawah peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, mungkin ia tidak perlu diajar dan diaplikasikan secara terperinci kerana khuatir bahawa teori sastera ini akan mengikat mereka dan menyekat pemahaman mereka. Seperti pembelajaran al-Quran, ilmu sastera juga memerlukan penuntutnya untuk belajar secara berperingkat,” ujar beliau.

“Para pelajar sudah boleh mula belajar secara berperingkat dan mendalam bermula daripada definisi teori yang pelbagai, pengasas teorinya, konsep teori, prinsip teori, kriteria malah sejarahnya sendiri untuk mereka menganalisis dan menggunakan teori sastera ini,” tambah Mana Sikana. Malah beliau mengakui, dalam metodologi pembelajaran, berbanding dengan disiplin ilmu lain, ilmu teori dalam kajian sastera adalah satu ilmu yang berat.

Pada masa hadapan, dengan kreativiti dan pemikiran generasi baharu yang semakin menampakkan jalurnya, Mana Sikana menaruh harapan bahawa akan terbit banyak lagi teori sastera tempatan.

Beliau turut berkata, ”Teori sastera tempatan akan terus kuat hidup, dengan menekan sekali lagi akan peranan penulis dan pengkritik sastera yang tampil mewakili generasi baharu. Teori tempatan akan kembang subur di medan akademik tempatan, namun syaratnya haruslah ada pengkaji, pengkritik, mahasiswa malah pengarang yang giat berkarya.”

Bagi Mana Sikana, perkara yang  merisaukan beliau adalah penggunaan teori dalam kalangan pengarang muda. Sedangkan merekalah kumpulan yang paling penting dalam mengukuhkan ilmu teori sastera.

Selain daripada teks karya mereka sendiri yang akan dikaji oleh pengkaji dan pengkritik, lalu membibitkan dan menerbitkan teori ini, pengarang juga perlu mengaplikasikan teori yang sedia ada dalam karya mereka, lebih-lebih lagi karyawan muda. Di samping pengkritik dan pengkaji, pengarang sendiri perlu berusaha untuk  mempelajari teori dalam kajian sastera, mengamati teori dan meningkatkan daya upaya mereka sebagai penulis.

Menurut Mana Sikana, teori sastera ini juga dicipta untuk kegunaan pengarang itu sendiri. Hal ini kerana pengarang dan karyawan khususnya penulis muda pada hari ini yang bertanggungjawab dalam mendefinisikan perkembangan sastera bangsa mereka, dan pengabaian terhadap teori tempatan dalam sastera akan mengeruhkan usaha itu.

“Ada pengarang yang saya jumpa berkongsi pendapat, dan sesetengah mereka malah ada yang memperlecehkan penggunaan teori dalam berkarya. Jika pengarang kita khusunya pengarang muda berfikiran sebegini, maka kemajuan dan perkembangan mereka sebagai karyawan akan tersekat,” tegas Mana Sikana.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa, selain para pengkaji, pengkritik, ahli sarjana dan mahasiswa, terciptanya teori tempatan dalam kajian sastera itu sendiri adalah untuk pengarang dan karyawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.