Oleh Nazrul Aziz
8 Februari 2022, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jarang-jarang puisi dideklamasikan dalam acara rasmi. Semakin hari, puisi semakin tidak didengari dalam majlis melainkan dalam pertandingan atau hanya majlis khas berkaitan dengan puisi dan sastera sahaja.

Menyedari hakikat ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengangkat puisi sebagai satu acara ketika Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022. Majlis ini telah dirasmikan oleh YAS Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan Bin Haji Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Puisi berjudul “Keluarga Malaysia: Suara dari Sebuah Perjuangan Wira Merah” merupakan garapan yang menggambarkan bomba yang digelar sebagai wira merah senantiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana dan malapetaka yang hadir tanpa diundang.

Mohd Fauzi bin Jamikah, Pegawai Bomba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah yang juga merupakan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 telah mendeklamasikan puisi berkenaan dengan penuh semangat dan berjaya menyentuh perasaan para hadirin.

Pantomim yang menggambarkan wira merah selaku barisan hadapan dalam menghadapi bencana.

Deklamasi puisi ini turut dimeriahkan dengan persembahan pantomim yang menggabung beberapa pasukan khas bomba seperti pasukan PASKUB, STORM, MUST Team dan K9. Persembahan ini melibatkan persembahan operasi penggunaan tali, tangga dan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan telah diseleraskan oleh Bahagian Udara JBPM dan dikoordinasikan oleh Yang Setia Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Nazili bin Haji Mahmud, Pengarah Bahagian Udara JBPM.

Tema yang diangkat dalam persembahan ini adalah operasi kebombaan sepanjang musim Monsun Timur Laut yang menggambarkan jabatan Bomba selaku barisan hadapan sentiasa memberikan perkhidmatan kelas pertama dalam setiap operasi yang dihadiri mereka.

Dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan keluarga Malaysia sentiasa terjamin dan berada pada tahap yang terbaik, anggota bomba memberikan khidmat tanpa mengira masa dan keadaan. Dengan slogan “Siap Sedia Setiap Masa”, JBPM tidak pernah memilih mangsa dan situasi yang akan mereka selamatkan, sebaliknya semua jenis operasi akan dihadiri tanpa sebarang diskriminasi.

Persembahan yang menggabungkan beberapa pasukan khas BOMBA mengiringi persembahan puisi.

Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ini merupakan acara tahunan  yang merupakan gabungan perhimpunan dihadiri oleh pegawai dan kakitangan ibu pejabat serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri dan turut disiarkan secara langsung melalui Web TV Bomba Channel dan semua platform media sosial rasmi jabatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.