7 Februari 2022, 09:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Antologi ialah kumpulan karya prosa seperti cerpen dan puisi, yang dihasilkan oleh beberapa orang penulis. Karya yang terpilih akan diselenggarakan, sama ada oleh seorang atau dua orang pengarang. Ringkasnya, antologi merujuk kepada koleksi karya yang diselenggarakan dan diterbitkan dalam satu buku.

Maka itu, apabila direncanakan projek antologi karya sastera, usaha itu melibatkan kerja menghimpunkan, menyusun dan menyunting sejumlah karya yang dihasilkan oleh beberapa orang penulis untuk dijadikan buku antologi.

Memang tidak dinafikan bahawa kebanyakan penulis pasti menginginkan karyanya tersiar sama ada dalam majalah, akhbar ataupun diterbitkan dalam bentuk buku. Namun begitu, keadaan industri penerbitan buku yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini, menyebabkan banyak rumah penerbitan, terutama yang berskala kecil terpaksa menamatkan operasinya.

Hal itu disebabkan oleh kos penerbitan sebuah buku yang agak tinggi, daripada kerja penyuntingan hingga terbitnya buku tersebut. Maka itu, untuk memenuhi keinginan penulis yang berminat untuk berkarya dan melihat karyanya diterima untuk dibukukan, beberapa syarikat penerbitan dan penyelenggara mengorak langkah mengadakan projek antologi karya sastera.

Penerbit SYFE menawarkan projek antologi kepada penulis yang berminat membukukan karya puisi mereka. Pihak penerbit SYFE menetapkan tiga tema, iaitu “Doa untuk Malaysia”, “Alam Sekitar” dan “Wabak Corona” untuk penerbitan buku antologi puisinya. Secara tidak langsung, akan terbit tiga buku antologi puisi yang kandungannya disusun berdasarkan tema yang telah ditetapkan oleh penerbit.

Berikutan kejayaan program Baca Puisi Anti Rasuah PEMUISI @KARANGKRAF pada 30 Januari 2022 yang lalu, PEMUISI dengan kerjasama Nuha Creative Resources melancarkan projek Antologi Puisi Anti Rasuah. Peluang dan ruang penerbitan buku puisi ini terbuka kepada semua peserta dan petugas yang terlibat dalam program tersebut.

Bertepatan dengan nama projeknya, puisi yang dihasilkan haruslah bertemakan  rasuah. Pelawaan penyertaan dalam projek antologi puisi ini akan ditutup pada 15 Februari 2022. Maka itu, peserta dan petugas yang terlibat dalam program berkenaan dialu-alukan untuk menghantar karya puisi ke alamat e-mel projekpemuisi@gmail. com.

Akademi Sanggar Nurimas (ASN) pula mengadakan projek antologi puisi dan menggalakkan penglibatan daripada para alumni ASN sendiri. Masih terdapat 12 kekosongan tempat lagi sebelum penyertaannya ditutup pada 31 Mac 2022. Pesanan ASN kepada semua pemuisi, “Jangan hanya mengulum kata di dada, tetapi tampilkan kata yang indah untuk tatapan mata”, yang juga sebagai daya tarikan untuk memancing lebih banyak penulis untuk menyertai projek antologi puisi ini.

Tema yang ditetapkan adalah bebas, namun penganjur projek ini menggalakkan penghasilan puisi yang memperlihatkan sosiobudaya masyarakat Malaysia.

Pesatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) juga tidak ketinggalan melancarkan projek Antologi Puisi Tali Kerabat. Dengan tujuan untuk mengabadikan karya dan mengeratkan silaturahim sesama ahli PEMUISI, karya puisi yang dihasilkan haruslah bertemakan “Persahabatan”.

Memandangkan projek antologi ini mendapat permintaan yang tinggi daripada sahabat PEMUISI, maka tarikh tutup yang pada awalnya ditetapkan pada 31 Januari 2022 telah dilanjutkan hingga 28 Februari 2022. Pelanjutan tarikh penyertaan tersebut bagi memberikan peluang kepada ramai lagi sahabat PEMUISI untuk terlibat dalam projek Antologi Puisi “Tali Kerabat”.

Hal ini juga dimaklumkan oleh Presiden PEMUISI, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim melalui hantaran di laman Facebooknya, dan pada masa yang sama mengalu-alukan penghantaran puisi ke alamat e-mel [email protected].

Sempena Hari Valentine yang akan disambut pada 14 Februari, Narangkai Publications mengusahakan antologi cerpen. Bagi projek antologi ini, pihak penerbit menetapkan penyertaan daripada 15 penulis cerpen, dan keutamaan diberikan kepada penulis yang awal menghantar karya mereka.

Maka itu, penulis yang berminat menghasilkan cerpen yang bertemakan Hari Valentine boleh merebut 15 slot yang disediakan oleh penerbit dengan menghantar karya ke alamat e-mel [email protected]. Walau bagaimanapun, penyertaan untuk projek antologi ini telah tamat pada 31 Januari 2022, dan kini penerbitan buku antologi cerpen ini sedang diusahakan untuk terbit sempena Hari Valentine.

Sempena Hari Guru yang diraikan pada 15 Mei 2022 pula, diadakan Projek Antologi Puisi Hari Guru. Sesuai dengan profesion guru yang mendidik anak bangsa, maka puisi yang dihasilkan haruslah tidak mengandungi unsur negatif yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan politik.

Puisi yang dicipta hendaklah menepati tema “Terima Kasih Cikgu”. Tarikh akhir penyertaannya ialah pada 7 Mac 2022. Sebanyak tiga buah buku antologi puisi akan diterbitkan secara swaterbit oleh pihak penyelenggara projek ini. Bagi yang berminat menyertai antologi puisi sempena Hari Guru ini boleh menyertai kumpulan WhatsApp “Antologi Puisi Hari Guru”.

Penulis muda dari Sabah, Nursyafiqah Roslan juga giat mengusahakan antologi karya sastera, dan memulakan gerak langkah tahun 2022 dengan penerbitan antologi puisi. Selaku penyelenggara, Nursyafiqah menetapkan enam tema dalam penulisan puisi yang akan diantologikan secara swaterbit.

Tema tersebut ialah “Islamik”, “Sahabat”, “Lukisan Hati”, “Kita Jaga Kita”, “Warkah Kasih Ayah” dan “Mencintai dengan Sederhana”.” Penulis yang berminat untuk menyertai projek antologi puisi selenggaraan Nursyafiqah ini boleh berhubung terus dengan beliau melalui WhatsApp 0137373371.

Projek Siri Antologi Cerpen Edisi Januari 2022 pula menawarkan peluang berkarya bersama-sama novelis, Hasreeyati Ramli. Menurut Hasreeyati, masih terdapat kekosongan untuk edisi Januari. Maka itu, penulis yang berminat dipelawa untuk menghantar cerpen kepada novelis berkenaan. Penulis juga boleh berhubung terus dengan beliau melalui WhatsApp 01128680667.

Melalui projek “Aku dan Sastera”, Gabriel Kimjuan dan Daniel Shankar bertindak selaku penyelenggara yang mengusahakan penerbitan sebuah antologi. Antologi ini bakal menghimpunkan karya seperti puisi, cerpen, anekdot dan esei. Secara khusus, antologi ini akan memuatkan 25 cerpen, 15 esei, 40 puisi dan lima anekdot. Penulis yang berminat untuk menyertai projek penulisan ini boleh menghantar karya mereka ke alamat e-mel [email protected] sebelum tarikh tutup pada 7 Mac 2022.

Penerbit Hikarya juga merancang beberapa projek antologi puisi dan cerpen, termasuklah penerbitan karya solo pelbagai genre. Di Kelantan, penyertaan secara percuma masih terbuka untuk penulis puisi yang menghantar karya untuk Projek Antologi Puisi Penyair Kelantan.

Setiap penulis boleh menghantar lima puisi ke alamat e-mel [email protected]. Uthaya Sankar melalui blognya, http://uthayasb.blogspot.com memaklumkan beliau kini membuka sesi bimbingan untuk penulis yang berminat menyertai projek antologi yang sedang diusahakannya, iaitu Antologi Karya Penulis Malaysia.

Bagi yang berminat dengan penulisan artikel boleh menyertai projek antologi artikel “Desaku Tercinta”. Penulis yang berminat boleh melayari https://syahidahassanenterprise.com/projek-penerbitan. Yang menariknya, artikel yang diperlukan adalah bersifat santai, yang memaparkan kisah, budaya atau sejarah istimewa di kampung.

Pihak penyelenggara hanya mencari 20 orang penulis yang akan dibimbing dalam penulisan artikel berkenaan. Penulis yang berminat boleh menghantar artikel ke alamat e-mel [email protected], dan projek antologi artikel yang diselenggarakan oleh penulis Pui Wen Hang ini akan berakhir pada 30 April 2022.

Selaku penerbit, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sastera juga dalam misi mencari manuskrip karya sastera. Menurut Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, semua penulis, terutamanya penulis muda dialu-alukan untuk menghantar manuskrip cerpen, drama atau puisi, sama ada dalam bentuk himpunan/kumpulan atau antologi.

Yang pastinya, penulis tidak perlu membuat apa-apa bayaran kepada DBP semasa menghantar manuskrip. Penulis hanya perlu menghantar manuskrip yang lengkap berserta biodata penulis, izin terbit karya dan perakuan bahawa karya tersebut adalah asli dan milik penulis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.