5 Februari 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun 2022 memperlihatkan permulaan aktiviti sastera dirancakkan dengan bengkel penulisan dan pelawaan kepada para penulis untuk menghasilkan karya, yang kemudiannya akan diterbitkan sebagai antologi. Hal ini terbukti apabila bulan Januari dan Februari dipenuhi dengan beberapa siri bengkel penulisan.

Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI), Jordan memulakan aktiviti tahun 2022 dengan mengadakan Bengkel Penulisan Kreatif untuk Mahasiswa yang menganggotai PERMAI. Bengkel yang diadakan pada 11 Januari 2022 ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar tentang panduan dan kaedah penulisan kreatif, meliputi aspek teori dan amali, dalam usaha melahirkan graduan yang bersifat holistik.

Yang menariknya, penceramah yang juga selaku pembimbing bengkel ini dipilih dalam kalangan ahli PERMAI yang mempunyai pengalaman cemerlang dalam bidang penulisan kreatif. Timbalan Pengarah Badan Pembangunan Insan PERMAI 21/22, Nurul Suhailah Muhamad Zahari telah berkongsi ilmu dan pengalamannya sebagai penulis karya kreatif dengan rakan sebaya dalam persatuan tersebut. Usaha ini menjadikan pelajar berkenaan menjadi lebih bersemangat untuk sama-sama berjaya dalam bidang penulisan kreatif.

Zaid Akhtar, selaku penulis novel Salju Sakinah, Sesegar Nailofar, Rona Bosphorus dan Justeru Impian di Jaring pula bertindak selaku pembimbing Bengkel Penulisan Cerpen 2022 anjuran Jabatan Pendidikan Islam, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik  (IPGKPT) dan Kelab As-Syakirin IPGKPT.

Bengkel yang berlangsung pada 14 Januari 2022 ini diadakan secara percuma dan terbuka hanya untuk siswa pendidik IPGKPT yang berminat dalam penulisan cerpen. Dengan memanfaatkan ruang maya melalui Google Meet, peserta bengkel memperoleh maklumat berkaitan dengan aspek persediaan menulis cerpen dan proses kreatif.

Pada 29 Januari 2022 pula, berlangsungnya Bengkel Penerbitan yang menampilkan tiga panel, iaitu Salman Sulaiman, Zalila Isa dan Nimoyz T.Y. yang membincangkan topik khusus berkaitan dengan penerbitan. Bengkel yang diadakan secara maya melalui Google Meet ini menjawab beberapa persoalan berkaitan dengan penerbitan buku, seperti bagaimanakah mengenal pasti dan memilih rumah penerbitan, apakah cara atau kaedah yang berkesan untuk menghantar karya kepada penerbit pilihan, dan apakah panduan yang terbaik untuk menerbitkan karya secara swaterbit.

Salah satu aspek yang terangkum dalam kerja penerbitan buku ialah reka letak buku. Bagi membantu penulis yang ingin merealisasikan bukunya secara swaterbit, Nurul Syahida Hassan selaku pengasas SHE (Syahida Hassan Enterprise), yang juga penerbit dan penulis, telah mengadakan Bengkel Membuat Reka Letak Buku.

Bengkel yang berlangsung sehari, iaitu pada 29 Januari 2022 ini diadakan secara bersemuka dengan melibatkan pengajaran aspek teori dan amali. Pengajaran reka letak buku dalam bengkel ini menggunakan perisian Microsoft Word. Yang menariknya, peserta bengkel yang mahir dan dapat menghasilkan reka letak buku yang menarik akan menerima tawaran kerja mereka letak buku untuk projek penerbitan buku yang diusahakan oleh pihak SHE.

Penulis mapan, Nisah Haron dan editor berpengalaman, Rozninah Abd Azib memanfaatkan jenama program Secangkir Kopi Jam Sepuluh dengan mengadakan Bengkel Penulisan Cerpen: Fiksyen Spekulatif. Bengkel yang diadakan secara dalam talian ini berlangsung pada 30 Januari 2022.

Hasil bimbingan dua orang yang berpengalaman dalam penulisan cerpen, peserta bengkel ini memahami dan mengetahui maksud fiksyen spekulatif, iaitu karya yang tergolong dalam kategori seperti fiksyen sains, futuristik, fantasi dan satira.

Secara khusus, bengkel yang mengenakan bayaran sebanyak RM250 untuk seorang peserta ini menghidangkan ilmu dan maklumat seperti kaedah memfiksyenkan fakta sains, membezakan antara karya fiksyen sains dengan satira, mengetahui konsep fiksyen sains, dan tip penulisan fiksyen spekulatif yang pasti terbit.

Menginjak bulan Februari pula, Paluan Seni Productions Sdn. Bhd. telah mengadakan Bengkel Penulisan Skrip Telemovie. Bengkel yang dibimbing oleh Maizura Ederis ini sesuai untuk  penulis baharu dan penulis muda, terutamanya penulis yang tidak mempunyai asas dalam penulisan skrip. Peserta yang mengikuti bengkel yang berlangsung pada 5 Februari 2022 di Jom Training Centre, Puchong Prima ini diberikan nota kuliah berserta contoh skrip telemovie.

Bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula, Bahagian Buku Sastera membuka acaranya untuk tahun 2022 dengan Bengkel Perolehan Manuskrip Karya Ilmiah. Perolehan karya ilmiah ini menyasarkan penulis amnya dan staf DBP khususnya untuk mengolah kajian atau tesis peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah menjadi manuskrip ilmiah, seterusnya diterbitkan sebagai buku kategori ilmiah.

Bengkel yang akan berlangsung selama dua hari, iaitu pada 14 dan 15 Februari ini akan dibimbing oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Mohamad Shaidan. Maka itu, penulis muda dalam bidang sastera, terutamanya pelajar yang baru meraih Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dialu-alukan untuk mengikuti bengkel ini, selain menghantar manuskrip karya ilmiah berdasarkan kajian seputar dunia sastera ke Bahagian Buku Sastera, DBP.

Selain bengkel, permulaan tahun 2022 juga dimeriahkan dengan panggilan untuk penulis menghantar karya kepada penyelenggara atau penerbit yang mahu membukukan karya dalam bentuk antologi. CCFE Publisher telah membuka ruang dan peluang untuk semua pensyarah bidang kaunseling, kaunselor, pelajar kaunseling dan individu yang bekerja dalam bidang sosial, yang berminat untuk menyertai projek penulisan, seterusnya bergelar penulis karya kreatif. Pihak CCFE Publisher menetapkan tema “Isu Keluarga dan Masyarakat” sebagai panduan kepada penulis untuk menghasilkan karya mereka.

Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) turut membuka rojek Antologi Puisi “Tali Kerabat” untuk memberikan peluang kepada kerabat pemuisi sedunia untuk menghasilkan puisi. Dengan tujuan untuk mengabadikan karya dan mengeratkan silaturahim sesama ahli PEMUISI, karya puisi yang dihasilkan haruslah bertemakan “Persahabatan”.

Melalui projek “Aku dan Sastera”, Gabriel Kimjuan dan Daniel Shankar bertindak selaku penyelenggara yang mengusahakan penerbitan sebuah antologi. Antologi ini bakal menghimpunkan karya seperti puisi, cerpen, anekdot dan esei. Secara khusus, antologi ini akan memuatkan 25 cerpen, 15 esei, 40 puisi dan lima anekdot.

Penulis yang berminat untuk menyertai projek penulisan ini boleh menghantar karya mereka ke alamat e-mel [email protected]. Projek penulisan yang bermatlamat untuk mengembangkan kemahiran menulis serta melahirkan gagasan dan pemikiran yang kritis melalui tulisan dalam bahasa Melayu ini akan tamat pada 7 Mac 2022.

Semaraknya acara bengkel penulisan dan banyaknya peluang untuk menerbitkan karya sastera bermakna dunia sastera tanah air tetap “meriah” walaupun negara masih belum “aman” ekoran serangan virus COVID-19 yang belum berakhir.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.