31 Januari 2022, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mungkin tidak menjadi pengetahuan umum, namun adalah jelas bahawa elemen wataklah yang menggerakkan isu dan idea dalam sebuah cerpen. Dengan keterbatasan perkataan dan halaman, mengarang cerpen dengan watak yang kuat dan terampil merupakan cabaran yang memerlukan kepakaran serta kemahiran. Dalam dunia penulisan, bagi menghasilkan karya cereka yang baik, penggarapan watak dengan penuh berhati-hati adalah satu kerja yang penting dan utama bagi para pengarang.

Selain daripada pemaparan isu yang mapan, cereka epik seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Tulang-tulang Berserakan telah menggunakan watak yang dibina dengan penuh berhati-hati dan berjaya mengesankan pembaca sehinggakan menjadi sebutan puluhan tahun setelah ia diterbitkan, merentasi sempadan.

Melalui “Secangkir Kopi Jam Sepuluh” pada episod baru-baru ini turut mengetengahkan topik Watak dan Perwatakan ysng menampilkan Nisah Haron dan Rozninah Abd. Azib sebagai pembicara, disertai Azian Mohamed Isa sebagai moderator bagi membincangkan hal ini buat rujukan dan panduan kepada pelayar yang menontonnya.

“Dalam perihal watak dan perwatakan, apakah yang datang dahulu, isu atau watak?” Soal Rozninah pada awal sesi tersebut. Jelasnya, walaupun kecenderungan untuk menulis itu lebih kepada memilih isu dahulu berbanding dengan watak adalah penting untuk diambil perhatian bahawa dalam menulis karya kreatif, proses kreatif sendiri tidak tetap kepada satu cara dan kaedah semata-mata.

Dalam  menulis karya fiksyen, sememangnya bergantung pada situasi dan proses kreatif seseorang tukang cerita itu. Lebih-lebih lagi dalam mengarang cereka satira. Seringkali proses kreatif akan menjadi  lain daripada lain, selain ia juga memerlukan kemahiran berfikir luar biasa sesorang pengarang itu.

“Sekiranya gagal menggarap watak yang selari dan setanding dengan isu, maka pengarang akan mencipta suasana yang tidak meyakinkan kepada pembaca. Namun demikian, perkara ini boleh berlaku mahupun jika watak dan isu itu saling melengkapi, dan tanggungjawab pengaranglah untuk meletakkan logik (yang memesrakan keperkaitan watak dan isu dalam cerpen) yang boleh meyakinkan pembaca,” jelas Rozninah lagi.

Logik yang dimaksudkan ini boleh disampaikan dan dipersembahkan melalui pemerhatian antara sebab dan  akibat yang jelas serta utuh. Melalui bicara itu juga, Nisah Haron berkongsi perihal pembinaan watak yang meyakinkan, dan tiga perkara di bawah adalah penting untuk diperhalusi:

Pertamanya, adalah rupa fizikal watak itu. Daripada ketinggian, ciri luaran, dan utamanya adalah gaya bercakap, Nisah berkata, “Pembaca mempunyai hak untuk mengetahui ciri fizikal watak yang dimainkan pengarang (secukupnya, bukan seluruhnya), kerana mereka menggunakan imaginasi sepenuhnya.”

Seterusnya adalah sikap atau tindakan watak, dan kedua-dua titik watak ini perlu bergerak selari dengan perkara ketiga, iaitu psikologi dan motivasi.

Psikologi yang bertanggungjawab untuk memaparkan pemikiran dalaman watak-watak dan hal tersebut merupakan perkara yang sangat penting untuk dipandang serius oleh penulis, kerana ia berbalik pada logik, akibat dan sebab yang memainkan peranan untuk meyakinkan pembaca.

Nisah turut berkongsikan panduan berkaitan mencipta watak yang meyakinkan. Antara kaedah yang beliau gunakan adalah dengan menggunakan simbol zodiak. “Saya gunakan simbol zodiak ini untuk kaji perwatakan, dengan rujukan ciri-ciri yang unik dalam personaliti. Dalam simbol zodiak, setiap jenis simbol itu ada ciri-ciri khas yang saya boleh guna dan kaji (dalam membina watak cereka),” ujar beliau.

Penerangan berkaitan watak sama ada watak utama, sampingan atau tambahan.

Secara umumnya, tiga jenis watak dalam cerpen, bermula daripada watak utama, watak sampingan dan watak prop. Kedua-dua watak utama dan watak sampingan mempunyai aksi yang mengesankan cerita, watak utama akan mempunyai reaksi yang paling banyak terhadap isu atau idea. Manakala, watak yang tidak mempunyai dialog, reaksi dan aksi terhadap plot pula dipanggil watak prop.

Dalam menggarap watak sampingan, walaupun ia sedikit, namun peranannya besar dalam persona watak utama.

Dalam menukang watak, selaku peranan watak sendiri sebagai penggerak plot, ia haruslah mempunyai matlamat. Dalam proses ini, kadang-kadang ada pula watak lain yang juga mempunyai matlamat, namun mungkin berbeza, menentang mahupun tidak setuju daripada matlamat watak utama. Watak yang kontra matlamatnya dengan watak utama ini adalah watak antagonis. Dan penentangan antara matlamat inilah yang akan mewujudkan konflik, mencipta plot kunci, juga melalui watak.

Menurut Nisah Haron, :Secangkir Kopi Jam Sepuluh: tidak menyenaraikan topik ‘plot’ dalam bicara-bicara akan datang, kerana topik ‘watak’ sendiri akan menyentuh berkenaan plot secara besar. Peranan watak sendiri adalah utama dalam menggerakkan plot dan jalan cerita.

Berbalik kepada perihal peranan watak antagonis, secara umumnya watak utama akan ditampilkan lebih hebat dan lebih kuat daripada kondisinya pada awal cerita, kerana adanya watak antagonis yang utuh. “Dalam menyampaikan pertentangan, perlu ada tentangan yang setara.

Tonton Secangkir Kopi Musim 5 Siri 4 di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.