29 Januari 2022, 22:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Melalui Twitter Space Booktube Malaysia, Hafiz Latiff yang juga sebagai Presiden BookTube Malaysia, mengemudi Borak Hujung Minggu siri pertama dengan topik “Langkah Mula Menjadi BookTuber” pada malam tadi. Dua penggiat BookTube Malaysia, Norsamila Samsudin dan Alya Sorfina dengan kurasi kandungan mereka masing-masing yang mempunyai gaya dan tema tersendiri, dijemput untuk berkongsikan pengalaman dan tip memulakan langkah menjadi penggiat BookTube buat pelayar Twitter.

BookTube sendiri secara umumnya masih merupakan satu kegiatan dan perkara yang baharu dalam dunia pembukuan di Malaysia. Menurut Hafiz Latiff, “BookTube adalah satu kegiatan berkongsi kandungan tentang buku melalui saluran YouTube.” Gabungan dua perkataan, Book + YouTube, menjadi perkataan BookTube yang antara matlamat utamanya adalah untuk berkongsi rasa cinta terhadap buku, selain mempromosikan budaya membaca kepada masyarakat.

Bercakap perihal pengalaman dan mengapakah mereka memilih untuk meletakkan komitmen sebagai seorang penggiat BookTube, Norsamila Samsudin berkata, “Saya mula-mula tertarik dengan idea BookTube ini melalui kawan saya juga yang seorang penggiat BookTube.”

Tambah beliau lagi, “Mungkin saya menjadi penggiat BookTube kerana saya lihat ini satu perkara yang bagus dan sangat menarik, iaitu bercakap dan berkongsi tentang buku. Walaupun sebenarnya saya seorang yang malu untuk meletakkan diri saya di tempat umum, maka saya memberanikan diri.”

Manakala Alya Sorfina, seorang penggiat BookTube yang mula menceburi bidang ini sejak dari tahun 2016 boleh dikatakan sebagai “orang lama” dalam bidang ini. Beliau mulakan kegiatan BookTube  beliau sebagai pengulas buku dengan memakai topeng. “Saya buat sendiri topeng tersebut, dan identiti itu bertahan sehingga tahun 2019, dan kini saya telah tinggalkan identiti lama tersebut,” tambah beliau.

Awalnya, Alya menggunakan nama alyareadsalot untuk akaun YouTube beliau, namun atas sebab tertentu, beliau menukarkan nama akaun tersebut kepada GADISBACA. “Saya mula menggunakan nama GADISBACA setelah terinspirasi dengan BookTube di ranah antarabangsa yang menggunakan bahasa sendiri mengikut negara yang berbeza-beza, untuk memperkenalkan pengikut mereka kepada negara mereka. Maka, untuk memaparkan identiti saya sebagai penduduk Malaysia, nama GADISBACA dijadikan pilihan,” jelas Alya.

Tambahnya lagi, memandangkan sebahagian daripada penonton video beliau adalah masyarakat dari negara yang berbeza, maka ini juga dapat dijadikan sebagai platform untuk memperkenalkan Malaysia kepada komuniti BookTube dunia.

Norsamila dan Alya juga sempat berkongsi beberapa tip dan langkah pemula sebagai BookTube. Dalam langkah untuk memulakan penciptaan kandungan BookTube, pertamanya, menurut Norsamila, pilih buku yang mahu dikongsikan. Apa-apa genre, bahasa dan kandungan, yang penting sesuai dengan kita sebagai pengulas. Kedua, pilih topik atau kandungan tertentu dalam buku pilihan. “Jadikan topik pilihan itu sebagai cuitan (teaser) untuk menarik perhatian penonton,” tambah Norsamila. Keempat, sediakan skrip, atau bahan untuk persediaan bercakap di depan kamera nanti. Langkah akhir sebelum mulakan sesi rakaman, sediakan gambar atau video atau apa-apa media untuk disisipkan ke dalam video nanti.

Alya turut menasihatkan kepada BookTube pemula agar kenal rapat dahulu dengan personaliti diri. “Cari zon selesa dalam kaedah kita menyediakan sesebuah video itu, jika video yang kita keluarkan sesuai dengan diri kita, maka kita akan menjadi lebih semangat dan selesa untuk terus konsisten, ulas beliau.”

Amat penting bagi seseorang penggiat BookTube untuk menyelesakan diri dengan kamera, kerana penggiat BookTube memang perlu untuk bercakap di hadapan kamera. Selain itu, lakukan juga kajian dan rujukan di akaun booktube dan vlogger lain yang boleh memberikan inspirasi.

Namun demikiran, Alya juga sempat memberikan nasihat agar tidak perlu terlalu memikirkan jumlah tontonan, dan yang paling penting, hargai penonton yang ada. “Kita harus fikirkan penonton yang setia menonton karya kita, respons komen dan kritikan mereka, respons dengan apa-apa balasan dan sentiasa segar untuk sedia dan hantar video baru.”

“Sebagai pereka kandungan, jumlah tontonan memang satu sisi besar yang tak dapat dielakkan, kita boleh fikirkannya tetapi, elakkan ia jadi faktor penghalang untuk kita konsisten berkarya mengulas buku. Jadikan aktiviti BookTube ini sebagai motivasi untuk tingkatkan kualiti diri,” tambah Alya Sorfina.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.