25 Oktober 2021, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –   Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jaringan Komuniti Sastera Kanak-kanak dan Remaja dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari ini telah mengadakan Majlis Perasmian Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja ke-10 yang diadakan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 9.00 pagi tadi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi dan Ucap Utama oleh Profesor Adjung Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. SN Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja mula dilaksanakan pada tahun 2009 oleh Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PURNAMA) yang kini dikenali sebagai Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPKSR), DBP. Antara objektif seminar tersebut adalah untuk menyebarluaskan kajian sastera kanak-kanak dan remaja, mengumpulkan idea untuk memupuk kesepakatan dalam jalinan kerjasama kesusasteraan kanak-kanak dan remaja, meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap peri pentingnya kesusasteraan dalam membentuk keperibadian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg. Prof. Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad mengatakan bahawa jalinan kerjasama ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan iklim kesarjanaan para akademik dapat disuburkan dan dikongsi bersama-sama masyarakat. Beliau turut berkata, “UPM sebagai menara ilmu turut menyambut baik usaha tersebut agar bidang sastera kanak-kanak dan remaja akan terus disemarakkan.”

Menurut Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, dengan adanya seminar ini, maka usaha untuk mengembangkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengucapan akan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas.

Diharapkan agar seminar ini akan meningkatkan minat dalam kalangan pengkaji dan penyelidik untuk melaksanakan pelbagai kajian penyelidikan yang akan dapat membantu dalam mengembangkan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja dan sekali gus akan membantu dalam perkembangan kesusasteraan kebangsaan di negara kita.

Penyampaian kisah dan cerita telah mula diperkenalkan sejak dari kecil lagi, terutamanya dalam bentuk lisan. YBhg. SN Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail berkata, “Kanak-kanak pada awalnya telah mula diperkenalkan cerita secara lisan sama ada dari rumah, madrasah mahupun di kedai kopi.” Dalam sesi Ucap Utama tersebut, beliau turut mengupas tentang “Sastera Kanak-kanak dari Lisan kepada Penulisan: Pengalaman Mendengar dan Mengutip Cerita Lisan” yang terjadi dalam kalangan anak kecil dan sekali gus menjadi kenangan ketika mereka menginjak ke alam dewasa.

Sesi Ucap Utama telah disampaikan oleh Profesor Adjung, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, YBhg. SN Prof. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Tema bagi Seminar Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja pada kali ini ialah “Sastera Kanak-kanak dan Remaja Mendepani Pelbagai Disiplin Ilmu” yang akan melibatkan pembentangan sebanyak 53 makalah. Seminar tersebut akan berlangsung dari 25  hingga 29 Oktober 2021 dan siaran penuh majlis perasmian seminar tersebut dapat ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.